PROSES penggalian kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah, mendapat perhatian ramai.
Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan membuat penstriman langsung (live) di kawasan berhampiran bagi berkongsi maklumat dengan orang ramai.
Apa yang menarik perhatian adalah sesi live pemilik akaun TikTok Kayu Merah.
Dia yang berada di lokasi kejadian turut memanggil salah seorang individu, dipercayai terlibat dalam proses penggalian kubur arwah.
ARTIKEL BERKAITAN: Proses gali kubur Zara Qairina selesai, ambil masa 2 jam
ARTIKEL BERKAITAN: Kubur Zara Qairina akan digali semula, Jabatan Peguam Negara arah bedah siasat
Menerusi rakaman yang dikongsikan [Tonton Video], dia menyatakan jasad arwah masih utuh meskipun sudah dikebumikan selama 23 hari.
"Jasad arwah seperti biasa, ia dikhabarkan oleh saudara ini yang berada di sana (lokasi kubur).
"Allahuakhbar, Allahuakhbar... kuasa Allah. Kita dapat perkhabaran (daripada orang) yang ada di tanah perkuburan semasa menggali.
"Jenazah arwah masih utuh, wajahnya seperti semalam (sebelum dikebumikan), ini dikhabarkan oleh ibu arwah.
Orang ramai datang untuk menyaksikan proses penggalian semula kubur arwah Zara Qairina.
"Wajah arwah utuh seperti baru semalam, Alhamdulillah Allahuakhbar. Terima kasih atas infonya," kongsinya kepada pelayar TikTok yang hingga kini sudah menerima lebih 16,000 jumlah tontonan.
Klip video itu turut dikongsikan beberapa pengguna media sosial termasuk budak_kampung78.
"Jenazah arwah adik Zara masih utuh seperti baru semalam dikebumikan. Anak syurga, Allah jaga kau adik Zara Qairina," tulisnya.
Di ruangan komen, dia juga berkongsi rakaman video temubual bersama seorang wanita yang dipercayai nenek kepada arwah Zara Qairina.
Wanita berkenaan turut mendedahkan rutin harian cucunya ketika ditemubual pihak media di lokasi.
"Zara pendiam tapi tidak tinggal sembahyang, dia suka mengaji," ujar nenek arwah yang setia menunggu proses penggalian semula kubur sehingga selesai.
Terdahulu, proses penggalian semula kubur arwah berakhir pada pukul 7.15 malam, Sabtu.
Tindakan itu dibuat susulan arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu.
Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai dan dikebumikan pada hari yang sama.