SATU prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan dijalankan.
Perkara itu diputuskan Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
"Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Proses gali kubur Zara Qairina selesai, ambil masa 2 jam
ARTIKEL BERKAITAN: Kubur Zara Qairina akan digali semula, Jabatan Peguam Negara arah bedah siasat
Untuk rekod, Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengarahkan penggalian semula kubur arwah bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jasad remaja berusia 13 tahun itu.
Susulan itu, proses penggalian semula dijalankan pada Sabtu lalu dan bedah siasat dibuat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Jenazah Allahyarham dikebumikan semula pada pukul 1.15 pagi Isnin di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah.
Terdahulu, Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu.
Remaja tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia di HQE I pada pukul 11 pagi, keesokan harinya.