POLIS giat menjalankan siasatan berhubung kes seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, anggota yang dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, dikatakan tidak pulang selepas mandi di Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor pada 23 Ogos lalu.
"Dia kali terakhir dilihat di Sungai Kedondong di Batang Kali selepas mandi bersama tiga rakannya yang juga anggota TUDM, kira-kira pukul 4.30 petang pada 23 Ogos.
"Rakan sebiliknya cuba menghubunginya kira-kira pukul 6 petang pada 24 Ogos, tetapi telefon bimbitnya dimatikan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu banyak kes orang hilang, mati dibunuh... Wanita kongsi 10 tip keselamatan ketika keluar rumah
Menurutnya, satu laporan polis dibuat oleh seorang anggota TUDM pada 25 Ogos, selepas Muhammad Ammar tidak melaporkan diri semula untuk Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT).
Sehubungan itu, Muhamad Farid Ahmad memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung individu berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
"Muhammad Ammar mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berambut pendek lurus serta berketinggian 175 sentimeter," katanya.
Orang awam yang maklumat boleh hubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Sukri Che Mat di talian 03-80762222 atau 03-80713136.