SEORANG wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden menceroboh pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bermula Isnin hingga Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata wanita berusia 41 tahun itu ditahan selepas cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, di atas pentas utama sekitar pukul 8.20 pagi Ahad.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta rawatan psikiatri.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Wanita ditahan cuba buat kecoh, ganggu Sultan Perak ketika sambutan Hari Kebangsaan
Namun ujian saringan air kencing mendapati keputusan negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Insiden mengejutkan itu mencetuskan kekecohan ketika ribuan rakyat hadir menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Bandaraya Ipoh.
Suspek dipercayai masuk melalui bahagian tepi pentas sebelum menghampiri Sultan Nazrin tetapi berjaya ditahan oleh anggota keselamatan.