suria

[V] Tindakan Wan Azizah tunduk hormat, tolak cara baik bersalaman dengan Presiden China dipuji

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

TINDAKAN isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipuji selepas menolak dengan baik untuk bersalaman dengan Presiden China, Xi Jinping.

Menerusi video tular [Tonton Video] di X, Wan Azizah dilihat berjalan di atas pentas, mengiringi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Wan Azizah hanya membongkokkan badan sebagai tanda hormat selepas Jinping menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.

Jinpin juga dilihat mengangguk, tanda mengerti pendirian Wan Azizah yang tidak mahu berjabat tangan.

Wan Azizah kemudian bersalaman dengan isteri Jinping, Peng Liyuan yang turut berada di atas pentas.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Wan Azizah sebak ucap selamat tinggal

Video itu dirakam ketika Anwar dan Wan Azizah menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Tianjin 2025 yang berlangsung di China pada 31 Ogos sehingga 1 September.

Di ruangan komen, ramai pelayar X memuji tindakan Wan Azizah yang menjaga batasnya sebagai wanita Islam.

"Dia tunduk memberi hormat walaupun tidak bersalaman. Itulah ajaran Islam, wanita tidak menyentuh kulit lelaki yang bukan mahram.

"Dia menunjukkan rasa hormat dengan cara berbeza. Bukan menolak untuk bersalaman!

"Dia tetap menunjukkan rasa hormat dengan terus tunduk sehingga dia melepaskan tangannya. Tetap berkelas," antara komen netizen.

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU