EMPAT lelaki dalam lingkungan usia 40-an disahkan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) berhampiran Saujana Putra, Selangor awal pagi Isnin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu membabitkan sebuah Ford Ranger yang dipercayai hilang kawalan sebelum menghentam pokok di KM27.7 lebuh raya berkenaan, arah Telok Panglima Garang.
Akibat impak kuat perlanggaran, tiga mangsa ditemukan tersepit di dalam kenderaan manakala seorang lagi tercampak keluar.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.21 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikerahkan ke lokasi dan tiba pada pukul 2.37 pagi,” menurut kenyataan itu.
Operasi melibatkan lima anggota bomba bersama sebuah jentera.
Semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan.