suria

[V] Wanita ditahan cuba buat kecoh, ganggu Sultan Perak ketika sambutan Hari Kebangsaan

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

POLIS sedang menyiasat insiden melibatkan seorang wanita yang naik ke pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak pada pagi Ahad.

Kekecohan berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi ketika lagu negeri Perak sedang dimainkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek dipercayai masuk melalui bahagian tepi pentas sebelum menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, namun berjaya ditahan oleh anggota keselamatan.

Wanita tempatan berusia 41 tahun itu ditahan di lokasi dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. 

Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain pernah menerima rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.

Menerusi rakaman video [tonton sini] yang tular di media sosial, wanita berkenaan kelihatan berlari meluru ke arah Sultan Nazrin di pentas utama.

Namun warga tempatan itu berjaya dihalang anggota keselamatan bertugas sebelum dibawa keluar dari lokasi.

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU