SEORANG wanita meluahkan rasa pilu selepas mendakwa anak kembarnya yang masih bersekolah rendah terabai sehingga terpaksa tidur di kaki lima sebuah flat di Pulau Pinang.
Wanita berkenaan mempersoalkan tindakan bekas suami dan isteri baharunya yang tidak menjaga kebajikan anak-anaknya selepas mereka bercerai.
“Apa perasaan kalau benda ini jadi dekat anak sendiri? Saya cuba kuat demi anak-anak, insyaAllah keluarga sentiasa ada belakang saya untuk bantu.
“Saya tak pernah berniat tak nak ambil anak, tapi masa bercerai dulu saya fikirkan babah mereka ada rumah, ada kerja tetap, boleh hantar sekolah.
"Saya fikir yang baik-baik sahaja. Tapi rupa-rupanya lain yang jadi,” kongsinya di Facebook.
Menurutnya, ketika melalui fasa perceraian, dia tidak mampu menjaga anak kerana masalah kewangan dan keadaan hidup yang tidak stabil.
Namun, dia kesal kerana menyangka anak-anak berada baik dalam jagaan, sebaliknya mendakwa terdapat bukti menunjukkan mereka diabaikan.
“Saya sangka anak bahagia dalam pelukan babah dan mak tiri mereka. Saya ingatkan dijaga, diberi makan, rupanya sampai tahap tidur di kaki lima. Hati mana sanggup tengok?” katanya lagi.
Wanita itu menegaskan dia memiliki bukti bergambar dan bersedia membawa perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Ini bukan soal cakap kosong, saya ada bukti. Jangan main-main dengan soal anak kecil. Ingat, Akta Kanak-Kanak 2001 jelas melindungi kebajikan mereka,” katanya.
Dalam hantaran terbaharu, wanita itu memaklumkan bahawa dia sudah membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau dan menyerahkan perkara berkenaan untuk siasatan.
“Alhamdulillah, biarlah polis buat kerja mereka. Saya tak boleh cakap apa-apa dalam tempoh siasatan ini berjalan. Kalau salah tetap salah. Luluh hati saya tengok anak-anak tadi.