MAHKAMAH Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan bahawa blok asrama yang dihuni Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
Pendedahan itu dibuat oleh pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang tampil sebagai saksi keenam dalam prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun tersebut.
"Setahu saya, tiada kamera CCTV dipasang di blok asrama berkenaan. Tiada juga jeriji besi dipasang di sepanjang koridor bangunan asrama," katanya.
Linah membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan pada Rabu.
Menurut Linah, pada 15 Julai 2025, dia bertugas sebagai pengawal keselamatan dari pukul 8 malam hingga 8 pagi keesokan harinya.
Pada pukul 2 pagi, dia membuat rondaan di blok asrama perempuan tetapi tiada perkara mencurigakan ditemui.
Namun, sejam kemudian ketika meronda blok bersebelahan, seorang pelajar memaklumkan ada pelajar pengsan di kawasan longkang blok asrama berkenaan.
"Saya segera bergegas ke lokasi dan mendapati seorang pelajar dikenali sebagai Zara terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang," katanya memetik laporan Berita Harian.
Linah memaklumkan dia segera menghubungi Ketua Warden, Ustaz Azhari mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, selepas itu dia sempat merakam gambar Zara dalam longkang sebelum Ketua Warden tiba dan menghubungi pihak hospital.
"Sebuah ambulans tiba kira-kira pukul 4 pagi dan Zara dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan," katanya.
Tambahnya, sepanjang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu sejak 2012 tiada sebarang keadaan luar biasa diperhatikannya.