MAHKAMAH Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan Zara Qairina Mahathir dipercayai kali terakhir dilihat di hadapan bilik air asramanya di tingkat tiga sebelum terjatuh pada 16 Julai lalu.
Terdapat juga kesan tapak kaki ditemui di tingkat bawah bangunan tempat Zara ditemukan tidak sedarkan diri, sekali gus mendorong pasukan penyiasat menggunakan petunjuk itu dalam proses rekonstruksi kecederaan atau simulasi jatuh.
Inspektor Maidon Bernandus dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D10, Ibu Pejabat Polis Sabah yang melakukan simulasi di lokasi kejadian pada 3 Ogos berkata, siasatan awal mendapati Zara dipercayai jatuh dari tingkat tiga dengan kakinya terlebih dahulu.
“Perkara ini ditentukan berdasarkan keterangan saksi dan siasatan awal kes,” katanya.
Justeru ketika menjatuhkan patung untuk simulasi, ia perlu dijatuhkan dalam keadaan kaki terlebih dahulu, jelasnya kepada mahkamah.
Menurut Inspektor Maidon, dua kali simulasi dilakukan iaitu tanpa tolakan dan dengan sedikit tolakan.
Ia bertujuan menguji di mana dan bagaimana patung bersaiz 180 sentimeter dengan berat 53 kilogram (disamakan dengan berat Zara) itu akan mendarat, jatuh dan mengalami kecederaan.
Berdasarkan keterangan Inspektor Maidon mengenai keadaan patung selepas jatuh, terdapat persamaan kecederaan yang dialami Zara dengan kerosakan pada patung dalam ujian pertama (tanpa tolakan).
Dalam keterangannya, dia menunjukkan kepada mahkamah keadaan patung yang digunakan dalam simulasi itu, antaranya kedua-dua betis patah berhampiran buku lali, kecederaan di kepala (terpisah dari badan), serta kerosakan lain pada tubuh termasuk batu-bata yang diikat pada pinggang.
Kecederaan utama pada tubuh Zara pula melibatkan bahagian kepala, buku lali, pergelangan tangan, belakang badan dan kawasan pelvis.
Bagaimanapun terdapat perbezaan pada cara Zara ditemukan iaitu terlentang berbanding patung yang mendarat dalam keadaan meniarap.
Hipotesis awal forensik sebelum ini mencadangkan Zara mendarat dengan kaki terlebih dahulu, tetapi patung pula mendarat secara sisi atau badan dahulu.
Inspektor Maidon menjelaskan perbezaan itu kerana satu melibatkan manusia hidup manakala satu lagi objek tidak bernyawa, yang sudah tentu ada perbezaan selain sedikit persamaan bagi membantu siasatan.
Patung asal hanya seberat kira-kira 10 kilogram namun batu-bata diikat pada pinggang sehingga mencecah 53 kilogram.
Peguam keluarga Zara mempersoalkan kaedah itu yang berkemungkinan menyebabkan pengagihan berat tidak sekata serta tidak menggambarkan berat badan sebenar Zara, namun pegawai itu tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan.
Satu lagi simulasi dijadualkan akan dijalankan menggunakan patung berbeza tetapi ia akan dilakukan oleh pihak pembelaan yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dikaitkan dengan kes ini.
Sementara itu, peguam keluarga Zara pula akan membawa pakar biomekanik mereka sendiri bagi menentukan dengan lebih tepat mengenai jatuhan serta keadaan sebenar yang berlaku.
Sebelum prosiding ditangguhkan, mahkamah mengingatkan saksi yang belum melengkapkan keterangan agar tidak membincangkan perjalanan inkues dengan pihak lain kecuali bagi urusan kerja. - The Star.