DIPAKSA melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon (zip tie) selama lima jam antara satu bentuk penyeksaan oleh askar Israel terhadap sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF).
Mereka yang diculik rejim Zionis juga tidak diberikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery berkata tindakan kejam itu berlaku selepas sebahagian peserta melaungkan slogan 'Free Palestine' sebagai tanda solidariti kepada rakyat Gaza.
“SNCC mengesahkan laporan bahawa para aktivis dipaksa melutut dalam keadaan bergari zip-tie selama lima jam.
"Lebih menyedihkan, mereka turut dinafikan akses kepada keperluan asas dan hak bertemu peguam,” katanya.
Sany Araby berkata rejim Zionis menahan para sukarelawan di Penjara Ketziot, salah satu fasiliti tahanan imigresen paling ketat di Israel.
Bagaimanapun penderitaan mereka berakhir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa 23 sukarelawan GSF dari Malaysia dibebaskan dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon di Selatan Israel.
Menurutnya, kumpulan berkenaan akan menaiki pesawat ke Istanbul, Turkiye sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
“Mereka akan berada di Istanbul mungkin satu setengah atau dua hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur,” katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 42 flotila kemanusiaan dipintas tentera Israel, mengakibatkan 201 aktivis dari 36 negara ditahan, termasuk 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF.