suria

Tak gentar tindakan rejim Zionis... Misi Freedom Flotilla Coalition tambah kelajuan, dijangka tiba di Gaza esok

Kapal dinaiki Mohd Afandi bersama 80 aktivis lagi, dijangka tiba di Gaza pada Sabtu.

PEMINTASAN kapal dan penahanan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak melunturkan semangat kemanusiaan masyarakat dunia.

Malah aktivis dan sukarelawan misi Freedom Flotilla Coalition yang kini berada di Laut Mediterranean meneruskan pelayaran ke Gaza, Palestin dengan menambah kelajuan kapal.

Menurut Profesor Dr Mohd Afandi Salleh yang juga salah seorang peserta misi baharu itu, pasukannya dijangka tiba ke Gaza pada Sabtu.

"Kami belayar di atas kapal Conscience bersama dengan 80 aktivis yang lain dengan lapan daripada Malaysia.

"Mengikut maklumat daripada kapten tadi, kapal kami dilajukan pelayaran dan dijangka esok (Sabtu) akan sampai ke Gaza jika tiada aral melintang.

"Sepatutnya tiga hari lagi tapi apabila berlakunya insiden GSF ditangkap dan ditawan, kami meneruskan pelayaran ini," ujarnya menerusi perkongsian video di laman Facebook.

Mohd Afandi juga menyatakan, tindakan meningkatkan kelajuan itu bagi menambahkan tekanan dan momentum ke atas tentera Israel.

Malah katanya, terdapat beberapa bot yang lebih kecil berada di sekitarnya dan bersama-sama meneruskan pelayaran.

"Sekiranya ada koordinasi yang perlu dilakukan, kami akan sampai lusa di Gaza. Doakan kami," tambahnya yang berasal dari Terengganu.

Untuk rekod, Mohd Afandi merupakan bekas peserta misi flotila ke Gaza pada 2018 iaitu aktivis tunggal mewakili Malaysia menyertai misi ‘Right to A Just Future for Palestine’ pada waktu itu.

Beliau juga pernah dimasukkan ke penjara Israel sebanyak dua kali.

Artikel Lain