suria

Lelaki tak setuju wanita sertai misi GSF... Pertikai aurat, batas pergaulan di ruang sempit - "Tujuan tak boleh halalkan cara"

Seramai lebih 500 individu mengikuti misi solidariti membantu rakyat Palestin. -Foto Sumud Nusantara Official

PENGLIBATAN sukarelawan wanita Muslim dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menjadi perdebatan selepas seorang individu di Threads menimbulkan persoalan mengenai situasi mereka di atas kapal.

Menurut lelaki berkenaan, ruang kapal sempit dan terhad membuatkan timbul keraguan dalam dirinya, terutama sekali tentang aurat serta batas pergaulan antara lelaki bukan mahram yang menyertai misi.

"Wanita-wanita Islam tanpa (tidak ditemani) mahram bersama lelaki-lelaki ajnabi dalam satu kapal termasuk yang bukan Muslim. Kapal (ruang) kecil ya.

"Bukan ada banyak tempat yang terselindung untuk salin pakaian, qada hajat, tidur, mandi, solat dan lain-lain. Tak nak cakap banyak cuma nak renung sejenak dengan mata hati.

"Tujuan (misi kemanusiaan) tidak boleh menghalalkan cara,” tulis lelaki berkenaan dalam hantaran tersebut.

Seramai 23 peserta mewakili Malaysia menyertai GSF. -Foto FB Rahmat Sumud Nusantara

Seramai 23 peserta mewakili Malaysia menyertai GSF. -Foto FB Rahmat Sumud Nusantara

Pertikaiannya itu segera mendapat reaksi balas daripada warganet yang menganggap pandangan tersebut tidak wajar kerana dia seolah-olah meragui tahap keimanan dan keupayaan para peserta menjaga hukum hakam agama.

"Kau ingat kau sorang je ke terpaling faham bab fiqh ikhtilat ni semua? Dalam misi tu ada ustaz, orang belajar agama. Orang Malaysia yang pergi tu pun ada bimbingan agama dalam diri mereka.

"Pastinya mereka tahu hukum hakam, tak payah nak risau hal ikhtilat mereka dalam kapal. Yang kau kena risau, kenapa Allah tak pilih kau untuk berjuang bersama mereka untuk mengejar (mati) syahid.

"Kalau kau berkemampuan setakat ‘menyalak’ je, anjing pun mampu menyalak. Renung-renungkan," ujar seorang netizen membidas kenyataan individu berkenaan.

Berdasarkan komen-komen yang diterima, rata-rata warganet dilihat tidak bersetuju dengan pandangannya dan menganggap lelaki itu sebagai seorang yang berfikiran negatif.

"Kau dah la tak berjihad, lagi nak bernegatif pada yang berjihad, kau renungkan dulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berdosa ke pilih untuk diam, enggan 'post' isu Palestin di media sosial? Ini ulasan agamawan

ARTIKEL BERKAITAN: Masih ramai ‘kabur’, tertanya-tanya... Ini 12 fakta Global Sumud Flotilla setiap orang perlu tahu

"Yang kau fikir sampai ke tukar baju kenapa? Kepala otak kau yang fikir tak elok, sebab tu bukan kau terpilih untuk pergi sana, hati kau tu kotor.

"Inikah masa nak bangkitkan isu-isu macam ni? Saya yakin wanita-wanita Muslim tu tahu kebaikan dan keburukan bila mereka putuskan untuk sertai misi ni. Kalau dah rasa alim sangat, doakan saja kesejahteraan dan keselamatan mereka bukan sibuk sentuh bab makan minum, pakaian dan sebagainya," antara komen netizen.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran lelaki itu, dia menegaskan bahawa dirinya adalah kelompok minoriti yang tak bersetuju dengan misi bahaya ini apatah lagi melibatkan wanita yang berstatus ibu dan isteri.

"Wanita secara fitrah lebih rapuh dan memerlukan perlindungan dan tidak wajar mereka diletakkan dalam situasi berisiko tinggi.

"Tak dapat fikir dek akal bagaimana suami mereka bagi izin. Tetapi saya juga bukan kelompok yang suka atau gembira dengan apa yang dah berlaku kepada mereka.

"Setiap rakaat dalam sujud tadi saya panjatkan doa semoga Allah bantu semua mereka yang terlibat," katanya.

Heliza (kanan) dan adiknya, Hazwani yang menyertai misi solidariti.

Sebelum posting lelaki berkenaan tular, Hazwani Helmi, adik kepada penyanyi Heliza Helmi yang turut serta dalam misi itu, ada berkongsi hantaran memberikan penjelasan mengenai situasi aktivis wanita Muslim di atas kapal Hio yang dinaikinya.

Menurutnya, kru kapal memberikan ruang khas yang tertutup untuk memastikan peserta wanita Muslim dapat menjaga aurat sepanjang perjalanan.

"Disebabkan kami antara peserta wanita Muslim kena jaga aurat sepanjang masa, ahli kru dan organisasi berbaik hati bagi 'partition' yang tertutup untuk kami berehat di situ.

"Walaubagaimanapun, sepanjang kami berada di bot, kami memang tidur dengan pakaian serba hitam kami supaya apa-apa berlaku, aurat kami masih terjaga," katanya.

Hazwani turut menyatakan rasa kagum dengan sikap kru lelaki di kapalnya kerana menjaga pandangan biarpun mereka berada dalam ruang sama.

"Ada orang ketuk dinding dengan sangat kuat, lalu kami pun terjaga. Saya melihat wajah orang yang mengetuk tu, tapi yang buat saya kagum, dia menundukkan pandangannya. Tak pandang kami pun.

"Sedangkan kami masih menutup aurat. Dia kata saya minta maaf tapi kita kena ada perbincangan segera. Boleh kita berkumpul dalam 5 minit. Kami pun jawab boleh dan masih dalam menundukkan pandangan," ceritanya lagi.

Misi GSF disertai lebih 500 peserta dari lebih 40 negara, termasuk 23 sukarelawan Malaysia yang terdiri daripada aktivis, pendakwah dan selebriti, dengan tujuan menghantar bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Namun, usaha mereka tidak kesampaian apabila kapal dinaiki dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa, sekali gus menyebabkan kesemua sukarelawan termasuk rakyat Malaysia ditahan secara tidak sah pada Khamis lalu, waktu tempatan.

Artikel Lain