suria

Dua maut, 3 parah kenderaan bertembung, terbakar di Lebuhraya Senai-Desaru

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.

DUA lelaki maut manakala tiga lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (km) 56 Lebuhraya Senai-Desaru, Johor pada Sabtu.

Kemalangan kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan Honda CRV, Toyota Fortuner dan Volkswagen.

Pegawai kanan komander operasi II Mohd Hazmi Zulkafli berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.10 pagi.

Susulan itu, lapan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Anggota kami tiba di tempat kejadian yang terletak 15 kilometer (km) dari Balai Bomba Bandar Penawar pada 11.39 pagi," katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, dua kenderaan yang terbakar adalah sebuah Toyota Fortuner yang mana seorang lelaki dewasa dilaporkan parah dan sebuah Volkswagen dengan empat individu yang mana dua daripadanya dilaporkan maut dan dua lagi parah.

Beliau berkata, penumpang dari dua buah kereta tersebut dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan operasi.

Secara tiba-tiba sebuah Honda CRV yang melalui jalan sama gagal mengelak sebelum merempuh dua kenderaan yang terbakar.

Bagaimanapun kesemua empat individu dalam kenderaan itu dilaporkan selamat.

Mohd Hazmi berkata, kesemua mangsa dirawat di Hospital Sultan Ismail di Pandan.

Manakala mayat dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. -The Star

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia