SEORANG pemandu jengkaut dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas kesalahan serangan seksual fizikal terhadap seorang pelajar sekolah menengah.
Tertuduh, S Gunah, 47, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin pada Jumaat.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang berusia 16 tahun di dalam sebuah bas dari Tampin ke Rembau kira-kira pukul 4 petang, Isnin lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menaiki bas yang sama dengan mangsa sebelum meminta untuk bersalaman dengannya.
Apabila remaja itu enggan, tertuduh meminta nombor telefon mangsa namun ditolak.
Tidak berpuas hati, lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak memegang paha dan lengan mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah memberi hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan terhadap mangsa bawah umur.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh pernah terlibat dalam kes pecah rumah sebelum ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan, dengan alasan masih bujang dan tiada keluarga.


