SEBANYAK 14 kawasan dikenal pasti sebagai hotspot atau lokasi gempa bumi di Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang kini menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, jumlah tersebut berdasarkan kajian dijalankan pihaknya.
Beliau berkata, kawasan terbabit ialah Ranau dan Lahad Datu (Sabah); Niah (Sarawak); Bukit Tinggi dan Janda Baik (Pahang); Batang Kali dan Ulu Yam (Selangor).
Kawasan lain di Kuala Pilah (Negeri Sembilan); Kenyir (Terengganu); Manjung dan Temenggor (Perak); serta Mersing, Segamat dan Batu Pahat (Johor).
Johari mendedahkan perkara itu sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beberapa kawasan di Johor antara kawasan yang mengalami gempa bumi lemah sebelum ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan dari Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai adakah Malaysia telah mengemas kini data terkini susulan perubahan iklim dan gempa bumi yang berlaku, selain pembinaan bangunan di negara ini tahan kepada gempa bumi.
Johari berkata, negara ini juga mempunyai Malaysia National Annex to Eurocode 8: Part 1 – General Rules, Seismic Actions and Rules For Buildings yang diterbitkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
Katanya, garis panduan tersebut memastikan aspek reka bentuk, tahap gempa serta langkah mitigasi kejuruteraan diambil kira dalam projek pembangunan di kawasan berisiko.
"Mereka perlu tengok hotspot ini dan kita akan suruh permohonan pembangunan mengikut standard yang ada. Tapi kalau kawasan yang tidak ada dalam senarai jajaran gempa bumi ini tak payahlah kita pakai.
"Cuma kita nak kumpul data-data ini, supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negara kita ini apabila dia nak meluluskan pembangunan dan sebagainya, kena merujuk kepada data geospatial," katanya.


