KERAJAAN bercadang menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun bagi membendung gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan mendapat sokongan pelbagai pihak.
Menurutnya, langkah ini selaras dengan usaha beberapa negara seperti Australia dan Indonesia yang turut melaksanakan had umur bagi penggunaan platform media sosial.
"Cara had umur ini dikuatkuasakan adalah melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, MyDigitalID dan pasport," katanya.
Dia turut menjelaskan bahawa kerajaan akan meneliti pengalaman pelaksanaan sistem eKYC (electronic Know Your Customer) yang digunakan dalam aplikasi e-dompet.
Melalui sistem berkenaan, pengguna perlu mendaftar menggunakan MyKad sebagai salah satu langkah pengesahan identiti.
"Kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Bank Negara Malaysia dan beberapa pihak lain berdasarkan pengalaman pelaksanaan sistem eKYC seperti e-Wallet," katanya lagi.
Cadangan itu menerima reaksi positif warga maya yang rata-ratanya menyokong langkah kerajaan memperketat kawalan terhadap penggunaan media sosial oleh golongan bawah umur.
"Moga usaha ini berjaya membendung masalah sosial yang melibatkan anak-anak kita.
"Usaha yang baik untuk menangani isu peringkat bawah umur menyalahgunakan media sosial.
"Cadangan yang baik dan perlu dilaksanakan segera," komen beberapa netizen.


