SEORANG lelaki maut selepas ditetak dengan senjata tajam di Kampung Kok Bedullah, Tumpat, Kelantan pada Jumaat malam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 malam dan mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie memaklumkan mangsa didatangi suspek yang mempunyai hubungan persaudaraan dengannya di rumah sebelum diserang menggunakan senjata dipercayai parang.
Mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditetak bertubi-tubi di bahagian muka dan tangan sehingga menyebabkan lengan kirinya putus.
Polis merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.
Suspek ditahan dan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.


