suria

Lapan tahun berjuang bantu 5 beradik tanpa kerakyatan, bekas pengarang raih Anugerah Extra Mile RCAD

Presiden RCAD, Siraanjivi Ganasan (kanan) menyampaikan Anugerah 'Extra Mile' kepada Sheila Rahman Natarajan sebagai pengiktirafan atas dedikasinya dalam membantu lima beradik tanpa kerakyatan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

BEKAS pengarang Sunday Mail, Sheila Rahman Natarajan, menerima Anugerah 'Extra Mile' daripada Rotary Club of Ara Damansara (RCAD) atas usaha gigihnya membantu lima beradik tanpa kerakyatan selama lapan tahun.

Menurut Sheila, perjalanan membantu keluarga itu penuh cabaran, di mana dia bukan sahaja memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit terjaga, malah berhadapan pelbagai proses birokrasi demi mendapatkan hak kewarganegaraan mereka.

Dua daripada lima beradik tersebut akhirnya menerima MyKad pada 22 September lalu, menandakan berakhirnya perjuangan panjang Sheila.

Penghargaan khas daripada RCAD itu disampaikan semasa Majlis Makan Malam Pelantikan Tahunan ke-9 kelab berkenaan minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sukarelawan SGHA & McDonald’s Malaysia berganding bahu ceriakan penghuni Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah

Presiden RCAD, Siraanjivi Ganasan, berkata anugerah itu diperkenalkan untuk menghargai individu yang menunjukkan semangat keprihatinan luar biasa.

"Kisah Sheila menjadi contoh bagaimana ketabahan dan keprihatinan seseorang boleh membawa perubahan besar. Semangat beliau jelas mencerminkan moto Rotary, Service Above Self," kata Siraanjivi.

Beliau turut memuji usaha Sheila dalam memastikan lima kanak-kanak itu mendapat makanan, pendidikan, dan kasih sayang seperti keluarga sendiri. 

Selain itu, RCAD turut menyumbang makanan dan komputer untuk kegunaan persekolahan kanak-kanak tersebut.

Turut hadir menyaksikan majlis itu adalah lima beradik tersebut yang berusia antara 13 hingga 20 tahun bersama bapa mereka, serta Gabenor Rotary District 3300, Edward Khoo, dan beberapa bekas gabenor daerah.

Dikenali sebagai 'Aunty Sheila', wanita tersebut mula membantu lima beradik berkenaan pada 2017 selepas si ibu menghilangkan diri dan meninggalkan mereka bersama bapa.

Sejak itu, Sheila berulang-alik menemani keluarga tersebut ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), malah ke pejabat menteri bagi memastikan setiap prosedur undang-undang dipatuhi.

Usahanya mula membuahkan hasil pada 2019 apabila mahkamah meluluskan hak penjagaan kepada bapa mereka, dan dua tahun kemudian kelima-lima beradik berkenaan menerima sijil kelahiran.

Seterusnya, bapa lima beradik tersebut diiktiraf sebagai penjaga sah pada 2022, sebelum permohonan kewarganegaraan dikemukakan. 

Pada 22 September lalu, perjuangan Sheila akhirnya menghadirkan kenangan manis apabila dua daripada lima beradik tersebut menerima MyKad mereka.

"Setiap langkah memerlukan kesabaran dan ketekunan luar biasa. Kami terus melangkah sedikit demi sedikit sehingga impian kami tercapai.

"Saya gembira untuk 'anak-anak' saya, tetapi masih ramai lagi yang belum diiktiraf, dan saya berharap giliran mereka akan tiba juga," ujar Sheila.

Terdahulu pada 2023, Sheila turut menerima anugerah NPC–MACROKIOSK Muhibbah Award daripada Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) bagi menghargai usaha dan keprihatinannya memperjuangkan hak individu tanpa kerakyatan.

Anugerah terbaru daripada RCAD sekali lagi mengiktiraf peranan Sheila sebagai contoh perpaduan dan kasih sayang rakyat Malaysia, serta bukti bahawa seorang individu mampu menghidupkan semula harapan orang lain.

 

Artikel Lain