suria

Pergaduhan ngeri di sawah padi, lelaki putus kepala ditetak adik ipar

Mangsa ditemukan dalam kawasan sawah dengan keadaan kepala terputus. -Foto Sinar Harian

SEORANG lelaki ditemukan maut dengan keadaan kepala terputus akibat ditetak adik iparnya dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3 di Jerlun, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang Jumaat itu, mangsa berusia 45 tahun ditemukan terlentang dalam sawah padi yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah suspek.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim, pihaknya dimaklumkan tentang pergaduhan antara dua lelaki. 

Namun sejurus tiba di lokasi, suspek didapati telah kembali ke rumahnya.

"Ketika ditahan, suspek masih memegang parang sebelum akhirnya menyerah diri selepas kira-kira 15 minit dipujuk," katanya sambil menambah parang sepanjang 30 sentimeter panjang turut dirampas.

Mengulas lanjut, ujar Mohd Radzi, hasil siasatan di lokasi mendapati kepala mangsa terputus daripada badan dan terdapat beberapa kesan tetakan lain pada tubuh.

"Suspek berusia 38 tahun dan mangsa merupakan abang iparnya. 

"Kedua-dua mereka bekerja sebagai pesawah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca pergaduhan.

Namun kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, manakala suspek akan direman di Mahkamah Alor Setar pada Sabtu.

"Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Artikel Lain