SEORANG bekas pekerja sebuah syarikat utiliti dijatuhi hukuman penjara 104 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sibu, Sarawak selepas mengaku bersalah merogol dua anak tirinya yang masih di bawah umur.
Tertuduh yang berusia 35 tahun, membuat pengakuan bersalah terhadap sembilan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet pada Jumaat.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B dan 377C Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes amang seksual, rogol: Bekas pengetua dijatuhi hukuman penjara 107 Tahun
Menurut fakta kes, kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, memberitahu ibu mereka yang berusia 37 tahun bahawa mereka telah dirogol oleh tertuduh sejak tahun 2020.
Pendedahan itu dibuat kira-kira pukul 11 pagi pada 25 Oktober lalu di rumah mereka di berek pekerja di Jalan Salim, Sibu.
Berikutan pendedahan tersebut, tertuduh ditahan polis keesokan harinya sekitar pukul 4.25 petang untuk siasatan lanjut.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta hukuman diringankan dengan alasan menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Cynthia Emmelda Jerry memohon mahkamah mengenakan hukuman berat, dengan menegaskan bahawa tertuduh telah memaksa kedua-dua mangsa memenuhi nafsunya sendiri tanpa belas kasihan.
Hakim Musyiri memerintahkan semua hukuman dijalankan secara berterusan (consecutively), menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 104 tahun.
Tegasnya, mahkamah memandang serius kesalahan berkenaan kerana ia dilakukan oleh seorang bapa tiri terhadap dua kanak-kanak yang berada di bawah jagaannya.
"Perbuatan ini bukan sahaja kejam, malah satu pengkhianatan besar terhadap amanah sebagai penjaga dan bapa tiri.
"Undang-undang mesti melindungi golongan paling lemah dalam masyarakat, dan pelaku seperti ini perlu dihukum seadil-adilnya," tegasnya. -The Star


