HASRAT seorang ibu menemani anak lelakinya melapor diri sebagai staf di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan berakhir dengan tragedi apabila meninggal dunia secara mengejut pada Rabu.
Mangsa, Jemilah Md. Nor, 64, menghembuskan nafas terakhir ketika menginap bersama suami dan anaknya di sebuah hotel di Jalan Mahkota, Kuantan di Pahang.
Berdasarkan perkongsian di Facebook Mr Wan Cai Official's pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian Jemilah disebabkan komplikasi penyakit darah tinggi.
Memandangkan wanita itu mempunyai rekod perubatan, pihak polis telah mengeluarkan permit kematian tanpa perlu menjalani proses bedah siasat.
Anak lelakinya kemudian menghubungi Team Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Pahang bagi mendapatkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ibunya ke kampung halaman di Bentong.
"Team UKVJ Pahang hadir ke lokasi membawa turun jenazah dari bilik hotel dengan bantuan suami, anak lelaki dan orang ramai," menurut perkongsian cerita di hantaran itu.
Jenazah Allahyarham yang selamat tiba di Masjid Cameng, Batu Satu, Bentong pada pukul 3.30 petang Rabu kemudiannya diuruskan bagi tujuan pengebumian.
"Impian seorang ibu untuk melihat anaknya menabur bakti sebagai kakitangan pendidikan tidak kesampaian, dia pergi sebelum sempat menyaksikan kejayaan anak yang diimpikannya," menurut hantaran tersebut lagi.


