MAYAT seorang lelaki tanpa identiti ditemui berhampiran sungai berhampiran sebuah kolej swasta di Bandar Sunway, Subang Jaya pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 7.10 malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Pergaduhan ngeri di sawah padi, lelaki putus kepala ditetak adik ipar
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati mayat berkenaan hanya berseluar panjang. Berdasarkan keadaan fizikalnya, mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa lama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di tempat kejadian.
"Disebabkan keadaan mayat yang sudah reput, pemeriksaan fizikal tidak dapat dijalankan serta-merta. Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti mangsa," jelasnya.
Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan siasatan lanjut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di 03-7862 7222 bagi membantu siasatan," katanya. -The Star


