suria

Staf RHB dipecat selepas tularkan gambar PM disunting

RHB amal dasar sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan.

SEORANG kakitangan RHB Banking Group ditamatkan perkhidmatan susulan tindakannya memuat naik gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disunting.

RHB dalam satu kenyataan memaklumkan individu terlibat dalam penularan gambar berkenaan tidak lagi berkhidmat dengan pihaknya berkuat kuasa 31 Oktober 2025.

Malah menurut bank itu, tindakan tegas diambil selepas pihaknya menyelesaikan siasatan dalaman berhubung perkara berkaitan.

Kenyataan yang dikeluarkan RHB.

Kenyataan yang dikeluarkan RHB.

"Individu yang terlibat tidak lagi bekerja dengan RHB, berkuat kuasa 31 Oktober 2025.

"Di RHB, kami komited untuk menegakkan piawaian profesionalisme, integriti dan saling menghormati yang tinggi dalam setiap urusan kami.

"Kami mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan kami," ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook.

Terdahulu, seorang pelayar media sosial menggunakan akaun Siti Nurziswanis Mohd Zain menjadi tular selepas memuat naik gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disunting berpakaian bendera Israel dan memakai pottu berunsur keagamaan Hindu.

Tindakannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang kebanyakannya mengecam perbuatan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap pemimpin negara.

Susulan penularan tersebut, dia dikatakan membuat permohonan maaf secara terbuka di akaun Facebook miliknya.

Artikel Lain