suria

Anak bongsu letak mangga, nota di kereta orang awam undang sayu... Rupanya baru hilang insan tersayang

Buah mangga ditinggalkan di atas kereta di perkarangan masjid.

BAGI kebanyakan individu, hari ulang tahun kelahiran akan diraikan dengan hidangan kek serta jamuan bersama insan tersayang.

Namun, seorang individu tular di TikTok kerana tampil dengan cara berbeza untuk mengenang hari ulang tahun kelahiran arwah bapanya.

Individu yang menggelarkan dirinya sebagai si bongsu itu memilih untuk menghadiahkan buah mangga kepada orang tidak dikenali di perkarangan Masjid Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.

Tiga biji buah mangga yang disedekahkan.

Selain buah mangga yang ditinggalkan di atas kereta penerima, dia turut menyelitkan surat yang meluahkan isi hatinya tentang pemberian itu.

"Sedekah hari lahir. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit rezeki sebagai tanda syukur atas nikmat usia yang Allah beri.

"Buah mangga ini menjadi kegemaran arwah abah dan diinfaqkan sebagai hadiah pahala buat arwah abah yang meninggal pada 3 Syawal yang lepas serta arwah kakak tercinta.

Terima kasih kerana sudi menerima. Semoga Allah merahmati kalian yang membaca dan mendoakan.

PEMBERI MANGGA 

"Mohon sedekahkan al-Fatihah buat mereka. Juga saya niatkan untuk umi tersayang," tulis si pemberi menerusi surat bertarikh 28 April 2025.

Dalam surat sama, individu itu turut berkongsi pesanan yang ditinggalkan arwah bapanya untuk sentiasa mengingati pengorbanan orang tua.

"Saya masih ingat pesan abah. Hari lahir bukan untuk diraikan sendiri tapi untuk mengenang dan menghargai kedua ibu bapa yang menjadikan kita siapa hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Infak zaman TikTok, peniaga dapat ‘live gifts’ hantar sebungkus nasi beriani ke gerai sebelah

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat ‘game’ pembekal di bulan Ramadan! Jual nama ‘infaq’, kurma RM5 jadi RM50 sekilo.

"Tanpa titik peluh dan doa dari mereka, kita bukanlah kita. Maka inilah usaha kecil saya sebagai tanda cinta dan doa.

"Terima kasih kerana sudi menerima. Semoga Allah merahmati kalian yang membaca dan mendoakan. Dari si bongsu yang ingin memberi tanpa dikenali," tulisnya lagi.

Isi kandungan surat itu dikongsi oleh penerima buah mangga berkenaan menerusi aplikasi TikTok.

Isi kandungan surat yang tular di TikTok.

Di ruangan komen, ramai netizen turut meluahkan rasa sayu dan menitipkan doa buat si pemberi dan keluarganya.

"Semoga arwah abah dan kakak si pemberi ditempatkan bersama dalam kalangan orang beriman.

"Saya baca ayat yang pertama, air mata turun laju. Yang pernah kehilangan dia akan faham.

"Bagusnya, kita yang baca pula rasa sedih," tulis beberapa netizen.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain