suria

Ahmad Dhani minta Maia Estianty henti buka kisah lama, ugut dedah bukti curang jika terus diprovokasi

Ahmad Dhani memberi amaran keras kepada bekas isterinya.

KONFLIK lama antara pemuzik Indonesia, Ahmad Dhani dan bekas isterinya, Maia Estianty kembali mencuri perhatian selepas isu rumah tangga mereka yang sudah lama berakhir kembali dibangkitkan secara terbuka.

Segalanya tercetus apabila Dhani memuat naik sebuah video di saluran YouTube miliknya bertajuk Kompilasi Mengumpat dan Fitnah Maia Estianty.

Tidak lama kemudian, Dhani tampil dalam podcast Curhat Bang bersama Denny Sumargo yang disiarkan pada Khamis dan membuat kenyataan mengejutkan berhubung bekas isterinya itu.

Dalam sesi temu bual itu, Dhani secara terbuka meminta Maia berhenti menyentuh soal perkahwinan mereka yang telah lama berakhir, terutamanya secara terbuka.

Ahmad Dhani nekad untuk mendedahkan kisah kecurangan jika Maia terus membuat provokasi.  

“Berhenti bergosip tentang perkahwinan masa lalu dan hentikan fitnah terhadap banyak perkara. Kalau tidak, saya akan dedahkan bukti yang lebih berat termasuk bukti Maia pernah menjalin hubungan dengan seorang lelaki,” katanya.

Dhani turut menegaskan bahawa dia masih menyimpan pelbagai bukti yang boleh menjelaskan sebab sebenar mengapa dia memilih untuk menceraikan Maia namun belum pernah didedahkan kepada umum.

“Kalau masih terus bercakap tentang perkara lama, saya tak teragak-agak untuk keluarkan bukti yang jadi punca kenapa saya ceraikan Maia,” katanya.

Menurut Dhani, selama ini dia sudah cukup bersabar tetapi memberi amaran jika Maia terus mencetuskan kenyataan menyentuh hal silam dia tidak teragak-agak untuk mendedahkan perkara yang lebih sensitif.

ARTIKEL BERKAITAN: Dianggap masih terbayang kisah silam, Maia Estianty doa rumah tangga Al Ghazali tidak diganggu orang ketiga 

ARTIKEL BERKAITAN: Maia Estianty curi tumpuan, anak berang konflik lama dengan Mulan Jameela jadi sebutan

Kenyataan tersebut muncul selepas Dhani mengunjungi Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) pada Rabu sebagai langkah melindungi anak perempuannya, Safeea Ahmad yang menjadi mangsa kecaman netizen ketika menghadiri perkahwinan abangnya Al Ghazali baru-baru ini.

Dhani mendakwa, kenyataan Maia sebelum ini menyumbang kepada timbulnya persepsi negatif dan menyebarkan maklumat yang tidak benar mengenai dirinya dan keluarga.

Malah, menurut Dhani, suami Maia, Irwan Mussry sebelum ini pernah memberi nasihat supaya tidak lagi membuka kisah silam secara umum.

“Mas Irwan pernah nasihatkan Maia supaya berhenti bercakap tentang perkahwinan kami, berhenti berpura-pura menjadi mangsa atau pihak yang teraniaya agar hubungan jadi lebih baik,” katanya lagi.

Ahmad Dhani dakwa suami bekas isterinya pernah menasihati Maia supaya tidak membangkitkan kisah lampau. 

Sebelum ini Safeea yang juga anak hasil perkahwinan Dhani dan penyanyi Mulan Jameela menjadi sasaran komen negatif netizen di media sosial ketika menghadiri majlis perkahwinan abangnya, Al Ghazali.

Dhani menegaskan sebagai bapa, dia bertanggungjawab untuk melindungi kesihatan mental dan emosi anaknya terutamanya daripada konflik orang dewasa yang boleh mengganggu persekitaran perkembangan anak.

Untuk rekod, Maia dan penyanyi Ahmad Dhani bercerai pada 2008 selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga. 

Penceraian pasangan selebriti ini didakwa berpunca daripada kehadiran orang ketiga iaitu penyanyi Mulan Jameela yang pernah menggemparkan industri hiburan. 

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Al Ghazali, Ahmad El Jallaluddin Rumi dan Dul Jaelani.

Maia kemudiannya berkahwin dengan Irwan Mussry pada 2018 di Masjid Cammi, Tokyo, Jepun. 

Manakala Mulan dan Ahmad Dhani berkahwin pada 2009. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain