suria

DJ Koo setia ziarah pusara Barbie Hsu setiap hari, tidak kira hujan atau panas... Hilang 12 kg sejak pemergian isteri

DJ Koo kerap ziarah pusara isterinya walaupun keadaan cuaca tidak menentu.

SUAMI pelakon Barbie Hsu iaitu DJ Koo mencuri perhatian ramai apabila masih setia menziarahi pusara isterinya setiap hari tanpa henti walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Menurut laporan media tempatan, kelibat DJ Koo atau Koo Jun Yup, 56, sering dilihat berulang-alik ke Tanah Perkuburan Chin Pao San (Jinbaoshan) di New Taipei City hampir setiap hari sejak isterinya dikebumikan pada Mac lalu.

Difahamkan, selepas pemergian Barbie, DJ Koo mengalami tekanan emosi yang mendalam hingga hilang selera makan dan kehilangan berat badan lebih 12 kilogram (kg).

DJ Koo amat merindui isterinya.

Malah dia juga seakan-akan hilang semangat dan kelihatan letih sekali gus mencerminkan betapa dalamnya perasaan rindu terhadap mendiang isterinya itu. 

Pada hari pengebumian yang berlangsung pada 15 Mac lalu, DJ Koo sekali lagi menyentuh hati ramai apabila dilihat berjalan dalam hujan lebat sambil membawa sendiri abu jenazah isterinya, tanpa mengendahkan tubuhnya yang basah kuyup.

Lebih menyentuh hati, DJ Koo turut dilaporkan sedang meninjau sebuah kediaman berhampiran kawasan perkuburan Jinbaoshan.

Penyanyi itu difahamkan ingin menetap berdekatan dengan pusara isterinya agar dapat terus merasai kehadiran insan tersayang itu, walaupun hanya secara rohani.

ARTIKEL BERKAITAN: DJ Koo tolak warisi harta Barbie Hsu, mahu serah pada ibu mentua

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon ‘Meteor Garden’ Barbie Hsu meninggal dunia selepas pulang bercuti dari Jepun

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan sama ada rumah itu benar-benar telah dibeli atau masih dalam pertimbangan.

Untuk rekod, Barbie menghembuskan nafas terakhir pada 3 Februari lalu akibat penyakit pneumonia ketika meraikan Tahun Baru Cina di Jepun. 

Barbie dan DJ Koo mendirikan rumah tangga pada 2022 namun tidak mempunyai cahaya mata.

Sebelum itu, Hsu pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan dari Cina, Wang Xiao Fei dan memiliki dua orang cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain