PELAKON dan pengarah filem Haryanvi, Uttar Kumar ditahan polis selepas didakwa mengeksploitasi seorang pelakon wanita apabila berjanji mahu menawarkan watak dalam filem sekiranya sanggup melakukan hubungan seks dengannya.
Kumar, 52, diberkas di rumahnya di Amroha, Uttar Pradesh, India pada pukul 4.30 pagi Ahad ketika sedang tidur.
Menurut sumber, kesihatan Kumar merosot sebaik sahaja ditahan kerana terlalu takut berdepan hukuman penjara lalu dipindahkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut sebelum proses undang-undang diteruskan.
Uttar Kumar dikatakan hanya menabur janji manis demi kepuasan nafsunya.
Mangsa yang juga seorang pelakon wanita dari Hapur mendakwa hubungannya dengan Kumar bermula sejak Ogos 2020 apabila mereka bertemu ketika bekerja dalam industri filem dan muzik Haryanvi.
Sepanjang tempoh itu, Kumar berulang kali menjanjikan peranan penting dalam projek akan datang termasuk watak utama dalam sebuah filem pada 2023.
Pada 24 Jun lalu, mangsa membuat aduan berkaitan perkara itu di balai polis namun laporan tersebut tidak diambil tindakan meskipun sudah berkongsi lokasi pelakon lelaki berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Menyesal tak sudah, Kiku Sharda tak sempat jawab panggilan terakhir ibu sebelum meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Dulu penyanyi popular, kini jadi pelayan kelab malam
Kecewa dengan perkara tersebut, mangsa bertindak cuba membakar diri di hadapan kediaman rasmi Ketua Menteri di Lucknow pada 6 September lalu sebagai tanda protes.
Cubaan itu bagaimanapun berjaya dihalang anggota polis yang bertugas di lokasi.
Insiden tersebut mencetuskan perhatian meluas sehingga akhirnya mendorong pihak berkuasa bertindak menahan Kumar bagi membantu siasatan berhubung kes eksploitasi seksual yang didakwa berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube