suria

Neelofa sukar terima kenyataan, kagum ketabahan ibu lawan kanser

Neelofa syukur penyakit ibu dikesan lebih awal.

TIDAK mudah buat pengacara Neelofa menerima berita ibunya iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohammed disahkan menghidap kanser payudara.

Kata Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 36, perkara tersebut adalah sesuatu yang besar buat mereka sekeluarga namun bersyukur ibunya tabah berdepan dugaan.

Apa membuatkan dia lebih berbangga, Kartini tidak pernah menunjukkan dirinya seperti sedang sakit di hadapan keluarga.

Neelofa bangga dengan kekuatan ibunya melawan penyakit.

“Ketika awal-awal saya dapat tahu seperti tidak mahu terima kenyataan.

“Mama seorang wanita yang kuat dan dia tak pernah tunjuk sebarang tanda dia lemah walaupun sedang sakit.

“Kami adik-beradik tidak banyak kongsi cerita yang boleh beri tekanan kepadanya,” katanya kepada mStar.

Neelofa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pelancaran produk pencuci pakaian yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Neelofa dedah hidap kanser payudara, anggap penyakit anugerah Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Neelofa kongsi tip murah rezeki, amal Bismillah 787 kali... Ahli akademi minta netizen henti ikut ‘petua’ selebriti

Pengacara itu mengulas perkara itu ketika ditanya tentang perkembangan terkini Kartini selepas berkongsi cerita dia menderita kanser baru-baru ini.

Difahamkan Kartini telah selamat menjalani pembedahan dan kini masih dalam proses pemulihan.

Menurut Neelofa lagi dia bersyukur penyakit ibunya itu dikesan awal dan mendapat rawatan sebaiknya.

Dalam masa sama dia juga berkongsi nasihat kepada kaum wanita agar selalu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Neelofa sentiasa beri sokongan kepada ibunya.

“Tak kira usia sekalipun, kita kena lakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun.

“Lebih baik keluar duit untuk pemeriksaan berbanding belanja besar untuk rawatan penyakit yang kita tahu di saat-saat akhir,” jelasnya.

Pada Februari lalu, Kartini mendedahkan dia menghidap kanser payudara tahap satu selepas melakukan ujian biopsi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain