suria

Pelakon sitkom ‘Kopitiam’ Mano Maniam meninggal dunia

Mendiang meninggal dunia pada usia 79 tahun.

PELAKON veteran Mano Maniam ditemukan sudah tidak bernyawa seorang diri di dalam rumahnya di Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun.

Khabar duka itu disahkan oleh adiknya iaitu Madi Maniam namun punca kematian masih belum dikenal pasti.

Mendiang tinggal bersendirian di rumah.

"Ia berlaku secara tiba-tiba. Mungkin akibat faktor usia, serangan jantung atau angin ahmar.

“Kami masih tidak pasti," katanya memetik FMT.

Menurut Madi, mendiang kerap menghubungi keluarganya serta anak saudaranya walaupun tinggal bersendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon sitkom ‘Santan Berlada’ Khairul Azhar meninggal dunia, ditemukan tidak sedar diri dalam kereta

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Sophia Ibrahim meninggal dunia akibat sesak nafas

"Dia menjalani kehidupan penuh bermakna walaupun sangat menghargai kebebasannya, dia sentiasa berhubung dengan kami, keluarga, anak saudara dan cucu saudara," tambahnya.

Sementara itu, Madi memberitahu pihak keluarga masih lagi menguruskan jenazah mendiang.

Mano sebelum ini terkenal dengan watak Uncle Chan dalam sitkom Kopitiam yang bersiaran di TV3 antara 1999 hingga 2003.

Mano terkenal dengan watak Uncle Chan.

Mendiang juga aktif dalam berlakon filem seperti Mat Gelap, Hikayat Merong Mahawangsa, Sini Ada Hantu, Kolumpo dan Rentap.

Malah mendiang pernah membina nama menerusi filem terbitan Hollywood iaitu Anna and the King bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fat pada 1999.

Selain itu, mendiang juga merupakan pengarah, jurulatih drama, pelakon suara latar serta penulis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain