MASIH sihat dan cergas di usia 74 tahun, penyanyi veteran Salamiah Hassan menjadikan aktiviti renang sebagai rutin harian.
Menurut Salamiah, sebelum ini dia sering melakukan aktiviti kecergasan di gimnasium namun demi mengelakkan berlaku kecederaan fizikal, dirinya memilih senaman yang lebih santai.
“Dulu saya bersenam di gimnasium, sekarang dah tak larat kemudian saya joging dan berjalan perlahan.
Salamiah kekal sihat di usia 74 tahun.
“Kini saya lakukan aktiviti renang pula. Untuk individu seusia saya yang tidak mahu cedera, kalau joging buat sakit lutut jadi jalan terbaik adalah berenang,” katanya kepada mStar.
Melakukan aktiviti senaman itu di waktu pagi, tambah Salamiah ia juga membantu mengubah pola tidur menjadi lebih teratur.
Malah dia sendiri dapat merasakan tahap kesihatan lebih baik selepas memulakan amalan berenang.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Voice note’ arwah jadi pengubat rindu, Salamiah Hassan tak fikir cari pengganti
ARTIKEL BERKAITAN: Suami Salamiah Hassan meninggal dunia selepas 2 bulan berumah tangga
“Setiap hari pukul 10 pagi semua orang dah pergi kerja dan kolam renang pun tiada siapa. Saya akan berenang bersama kakak ipar.
“Apa yang saya perasan, bila kita lakukan aktiviti renang, saya dapat tidur dengan lena. Berenang juga bagus untuk paru-paru.
“Kalau saya melakukan aktiviti seperti ini (berenang), pukul 10 malam mata akan cepat mengantuk melainkan saya ada persembahan nyanyian,” ujarnya.
Selain daripada itu, penyanyi lagu Gelombang ini ada cara tersendiri bagi memastikan rutin harian lebih produktif.
Salamiah mempunyai rutin harian setiap pagi.
Bukan hanya di luar rumah, malah dia juga akan memulakan ativiti seawal bangun tidur.
“Macam mana lewat pun saya tidur, saya akan bangun pada pukul 5 pagi. Sebelum masuk waktu Subuh, saya siram pokok bunga dan bagi makan kucing.
“Kemudian saya akan mandi pada awal pagi. Itulah rutin harian saya bagi mengekalkan kesihatan dan kecergasan fizikal,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube