SEPUPU kepada pelakon dan usahawan Zeoy Rahman antara mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin.
Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman berkata dia terkejut apabila menerima khabar mangsa iaitu Fakhrul Arif Rosli disahkan meninggal dunia menerusi aplikasi WhatsApp keluarga pada awal pagi.
Katanya, arwah dalam perjalanan pulang dari kampung halaman di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu ke UPSI, Tanjung Malim, Perak selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.
Foto terakhir arwah bersama ahli keluarganya.
"Saya menerima khabar itu pada subuh tadi dalam group WhatsApp keluarga. Mula-mula kami tidak tahu arwah selamat atau tidak, cuma tahu 15 orang saja yang meninggal.
"Tapi selepas beberapa minit baru dapat berita mengesahkan dia meninggal di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi mStar.
Berkongsi mengenai hubungannya bersama arwah, Zoey berkata kali terakhir mereka bertemu adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu dan menyifatkan Fakhrul sebagai sepupu yang rapat serta memiliki budi perkerti baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Zoey Rahman cemburu tengok kebahagiaan rakan bersama keluarga, ingin tamatkan zaman bujang
ARTIKEL BERKAITAN: Zoey Rahman kongsi sepak terajang dunia perniagaan, rakan selebriti pun dengki sebar cerita buruk
"Saya tak balik kampung Aidiladha ini, kali terakhir pun jumpa pada Aidilfitri lalu. Saya boleh sifatkan dia seorang yang baik , pendiam dan bijak orangnya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Zoey memberitahu ahli keluarga arwah sudah tiba di hospital untuk menunut jenazah anak mereka namun masih belum membuat keputusan lokasi Allahyarham akan dikebumikan.
Tambahnya lagi, dia berharap keluarga terus kuat dengan ujian yang terpaksa dilalui ketika ini.
"Sekarang ini saya juga masih tunggu update daripada keluarga arwah kerana mereka sudah sampai di sana. Jenazah masih lagi di hospital untuk bedah siasat.
Sekitar kejadian kemalangan bas yang membabitkan pelajar UPSI.
"Saya harap keluarga arwah dan mangsa yang lain tabah dengan ujian ini.
"Kemalangan memang tiada dapat dielakkan tapi saya harap ada tindakan selepas kejadian ini. Setiap kali musim perayaan ada saja perkara seperti ini berlaku melibatkan kenderaan berat," kongsinya.
Pada pagi Isnin, seramai 15 orang disahkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 pagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube