PELAWAK Azlee Senario tidak berniat untuk bersikap riyak apabila berkongsi kegembiraan berjaya membayar komitmen bulanan bagi dua buah kereta miliknya baru-baru ini.
Azlee atau Muhammad Azlee Jaafar, 58, berkata, perkongsian yang dibuat hanya untuk meluahkan rasa syukur kepada Tuhan selepas urusan bayaran balik pinjaman bank dipermudahkan.
“Perkongsian dibuat sebelum ini bukannya niat untuk menunjuk-nunjuk saya ada dua kereta yang sudah selesai dibayar.
Kereta Honda CR-V ini kini milik Azlee sepenuhnya.
“Tujuan saya kongsikan di media sosial untuk meluahkan rasa syukur kepada Allah kerana selepas 11 tahun akhirnya saya berjaya melunaskan pinjaman bank.
“Perasaan terlalu gembira apabila dapat melangsaikan hutang kereta. Saya tiada niat nak bersikap riyak, hanya nak meluahkan rasa syukur saja,” katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam masa sama, Azlee memberitahu dia juga mahu mengingatkan kepada masyarakat tentang pentingnya sikap disiplin dalam menyelesaikan hutang.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih sedekad ‘bertarung’, Azlee Senario lega bebas hutang 2 buah kereta
ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk terima undangan persembahan, Azlee Senario terpaksa tutup gerai buah tepi jalan... Mahu kembali berniaga tambah pendapatan
Kata Azlee, selagi tidak melunaskan bayaran harta dimiliki, ia masih menjadi hak milik bank.
“Ada juga netizen yang cakap orang lain pun pakai kereta juga, tak ada nak beritahu kereta dah habis bayar ke tak.
“Perkara utama saya nak sampaikan adalah kita kena berdisiplin dalam membayar hutang. Bila kita disiplin, harta (kereta) itu akan jadi milik kita,” ujarnya.
Saya tiada niat nak bersikap riyak, hanya meluahkan rasa syukur.
AZLEE SENARIO
PELAWAK
Mengulas lanjut berkenaan perancangan masa hadapan, Azlee berkata dia tidak berhasrat membeli kenderaan baharu kerana tidak mahu dibebani hutang.
“Saya tak ada perancangan nak beli kereta baharu. Saya sudah serik dan merana nak bayar.
“Dua buah kereta yang ada ini pun insya-Allah saya akan jaga dengan baik. Kalau beli kereta baru sekarang, nanti lagi 9 tahun umur saya berapa pula?
Azlee tidak berniat ingin menambah hutang pembelian kereta baharu.
“Itu pun entah saya sempat langsaikan hutang atau tidak. Nanti beban untuk waris pula,” katanya.
Sebelum ini, Azlee memuat naik sebuah hantaran di TikTok miliknya memaklumkan dia bersyukur kerana sudah bebas daripada membayar komitmen bulanan bagi dua buah kereta miliknya.
Jelas Azlee, dua kenderaan tersebut sudah selesai dibayar selepas lebih sedekad berjuang menyelesaikan hutang berkenaan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube