suria

Hazama tak suka label orang narsistik, bimbang sendiri yang kena

Hazama tidak percaya akan kewujudan individu bergelar narsistik.

PENYANYI Hazama tidak percaya akan kewujudan individu yang didakwa memiliki gangguan personaliti narsistik (NPD) iaitu kecenderungan sikap yang mengagumi diri sendiri. 

Hazama atau Hazama Ahmad Azmi, 41, berkata dia tidak mahu sewenangnya melabelkan individu lain sebegitu sebaliknya menganggap kelakuan itu mungkin disebabkan mengalami hari yang buruk. 

"Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan perkataan narsisis itu. Bagi saya ia satu perkara negatif. Saya tak pasti pernah berurusan dengan orang seperti itu. 

Hazama 

"Kalau memang ada pun saya tak pernah label orang itu narsisis. Saya anggap dia hanya mempunyai 'bad day' (hari tidak baik) sahaja. Hari yang tidak bagus untuk dia. 

"Kalau kita labelkan orang sebagai narsisis, maka selamanya mereka akan jadi seperti itu dan tidak berubah," katanya kepada mStar. 

Hazama berkongsi pendapat itu ketika majlis pelancaran lagu baharunya berjudul Aku Bukan Narsisis yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hazama dan isteri tetap bahagia tanpa anak, rasa membazir mahu teruskan IVF... “Saya serah kepada Allah”

ARTIKEL BERKAITAN: Hazama mahu ada banyak karya hit sebelum buat konsert - “Setakat satu lagu tak boleh”

Tambahnya penyanyi itu perkataan narsisis kini semakin kerap digunakan tanpa dikaji terlebih dahulu peribadi seseorang. 

Baginya juga setiap individu cenderung untuk memiliki sifat segitu tanpa disedari. 

"Bagi saya hari ini mungkin seseorang itu bersikap demikian (narsisis), esok lusa kita pula.

"Kalau sikap narsisis itu wujud, semua orang ada personaliti seperti itu kerana kita perlu ada rasa pentingkan terhadap diri sendiri. 

"Dulu saya rasa tiada pun perkataaan narsistik itu, sekarang sahaja orang pandai-pandai nak wujudkan. Hakikatnya semua orang ada masanya memang bersikap seperti demikian," ujarnya. 

Hazama muncul dengan lagu baharu berjudul Aku Bukan Narsisis.

Lagu Aku Bukan Narsisis merupakan hasil ciptaan Farouk Roman dan liriknya oleh Zel Hadauan. 

Ia dipilih sebagai runut bunyi bagi drama adaptasi novel Dia Bukan Syurga yang disiarkan di Astro Ria. 

Aku Bukan Narsisis menyelami sisi seorang lelaki yang sering dilabel sebagai memiliki sifat begitu yang terlalu mengawal dalam percintaan, hakikatnya dia sedang bergelut ketakutan kerana obsesi terhadap kesempurnaan dalam cinta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain