PENERBIT Datuk A. Aida membuat kejutan kepada pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid apabila menawarkan sebuah telefilem istimewa terbitan syarikat produksinya, A. Aida Production Sdn Bhd bertajuk Kisah Cinta Kau & Aku yang bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat.
Tawaran tersebut hadir selepas A Aida tersentuh hati membaca kisah tekanan hidup yang dialami Dharma selepas dikatakan tidak menerima sebarang tawaran kerja sejak beberapa tahun lalu.
Menurut A. Aida, dia berharap pertolongan kecil yang diberikan mampu membawa keceriaan dan semangat baharu kepada pelakon itu untuk meneruskan kehidupan.
A. Aida hadir ke rumah Dharma untuk memberikan sumbangan dan tawaran kerja.
“Saya sedih membaca kisah Dharma dan apa yang berlaku terhadapnya sangat menyentuh hati saya.
“Kebetulan produksi saya bakal menjalani penggambaran telefilem, jadi saya minta olah semula jalan cerita dan reka watak khas yang sesuai dengan keadaan kesihatannya.
“Asalnya watak itu untuk seorang ibu, tetapi kami tukar kepada karakter seorang ayah. Ceritanya pun disesuaikan agar tidak memberi tekanan kepada Dharma.
“Saya berharap peluang kecil ini dapat menyuntik semangat untuk dia terus berkarya dan membina kembali keyakinan diri," katanya ketika ditemui di kediaman Dharma di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun tak beri anak berhenti belajar, raih keputusan cemerlang dalam pelajaran
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dharma Harun tiada selera makan, hilang 40 kg dalam tempoh tiga bulan akibat tekanan hidup
Sementara itu, Dharma, 68, meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima tawaran tersebut tanpa diduga.
“Saya ingatkan A Aida nak jumpa untuk melawat saja, tapi tak sangka dia datang bawa tawaran berlakon. Saya sangat berterima kasih.
"Saya terharu kerana di usia begini masih ada yang sudi menawarkan saya kerja.
“Saya dah lama tak berlakon sebab lebih aktif di belakang tabir sebagai penerbit. Tapi tawaran ini benar-benar mengejutkan saya. Ia membuktikan masih ramai yang ingat dan sayangkan saya," katanya.
Dharma gembira menerima tawaran berlakon dalam telefilem terbitan A Aida Production Sdn Bhd.
Tambah Dharma, dia masih kuat untuk keluar bekerja dan berdikari walaupun tidak mampu berdiri terlalu lama.
“Saya masih boleh bekerja, memandu dan berjalan. Cuma kalau berdiri lama sangat itu memang tak larat. Tapi saya akan usaha ikut kemampuan,"katanya.
Selain Dharma, telefilem Kisah Cinta Kau & Aku turut dibintangi Aniq Suhair dan Azeva Natassha yang akan mula menjalani penggambaran bulan depan untuk siaran di Salam HD.
Sebelum ini, ketika ditemu bual mStar, Dharma memaklumkan sudah tiga tahun tidak menerima tawaran pekerjaan hingga mengalami tekanan dan masalah kesihatan.
Kata Dharma masalah yang dihadapi menyebabkan dia kurang selera makan sekali gus memberi perubahan ketara kepada keadaan fizikalnya.
Dharma dilaporkan tinggal bersama dua orang cahaya matanya iaitu Syafiq, 35, dan Siti Qurratu Aini, 37, yang kedua-duanya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (Aswara).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube