PELAKON Andy Teh menyifatkan filem aksi terbitan Malaysia sudah mampu untuk berada di tahap membanggakan kerana berjaya menarik perhatian penonton dari luar negara.
Hal ini disebabkan oleh maklum balas positif diterima menerusi filem lakonan Andy atau Andy Teh Him Kuat, 39, iaitu Blood Brothers: Bara Naga yang ditayangkan di Indonesia.
"Sebenarnya tahap lakonan aksi pelakon kita agak cemerlang kerana bila filem Blood Brothers ditayangkan di Indonesia, kami dapat banyak komen positif.
"Peminat di Indonesia teruja melihat filem aksi negara kita boleh capai tahap sebegitu (baik).
Andy berharap untuk menerima pencalonan di FFM34.
"Tapi sudah tentu ia bukan hanya kerana babak aksi sahaja tetapi meliputi seluruh tenaga kerja termasuk jurukamera dan koreografi terbaik," katanya kepada mStar.
Andy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke034 (FFM34) yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) , Hulu Klang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Andy turut meluahkan rasa gembira apabila penganjuran FFM34 kali ini memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik.
Menurutnya, ia secara tidak langsung memberi semangat buat semua pelakon babak aksi kerana akhirnya bakat mereka turut diiktiraf.
ARTIKEL BERKAITAN: Nama jadi sebutan gara-gara filem ‘Blood Brothers’, Andy Teh terkejut ramai puji kacak
ARTIKEL BERKAITAN: Andy Teh tidak memilih, peminat pun ada peluang jadi bakal isteri... Tak letak banyak syarat
"Bila diumumkan kategori baru itu, saya memang rasa gembira mungkin ada peluang untuk tercalon harap-harap adalah rezeki.
"Sebelum ini saya memang ada buat satu kenyataan di mana pasukan stunt di Malaysia tidak dihargai sepenuhnya.
"Jadi apabila ada anugerah seperti ini setidaknya kami lebih bersemangat kerana apa yang pelakon aksi lakukan akhirnya dihargai," ujarnya.
Bila filem Blood Brothers ditayangkan di Indonesia, kami dapat banyak komen positif.
ANDY TEH
PELAKON
Andy bagaimanapun memberitahu dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi kategori tersebut namun berharap sekiranya dapat dicalonkan dalam FFM34.
"Saya tidak meletakkan harapan tinggi tetapi setiap kali menerima sebarang tawaran berlakon saya akan buat sehabis baik.
"Kalau ada rezeki bolehlah tercalon. Tahun lepas filem lakonan saya Pagari Bulan ada tiga pencalonan tetapi lebih fokus pada Aniq Dhurah.
"Jadi saya harap tahun ini, filem Blood Brothers boleh buka mata ramai pihak untuk menerima pencalonan dalam FFM34," katanya.
Andy teruja dengan penerimaan filem Blood Brothers: Bara Naga.
Sebelum ini, FFM34 memperkenalkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap kebangkitan filem genre tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, anugerah tersebut dipertandingkan untuk mengangkat keberanian dan kesungguhan anak seni dalam melakonkan babak sebegitu.
Kata beliau, ia juga akan menjadi penghargaan buat pengkarya selepas meraih pencapaian nilai tontonan tinggi menerusi filem-filem yang mempamerkan babak aksi.
FFM34 akan berlangsung pada 8 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube