AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan segala bayaran yang diterima sebagai wajah kempen produk kecantikan, Wawa Cosmetics akan disalurkan kepada tabung kebajikan bagi membantu penduduk di kawasannya.
Menurut Syed Saddiq, bayaran yang diperoleh itu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya digunakan untuk kebajikan rakyat di Muar, Johor.
"Kebiasaannya, saya akan maklumkan lebih awal kepada pemilik jenama bahawa semua bayaran yang saya terima akan disalurkan kepada tujuan kebajikan di Muar.
“Sama seperti jenama ini (Wawa Cosmetics), saya akan salurkan keseluruhan jumlah bayaran. Cuma, untuk jumlah tepatnya, saya perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan (Wawa Cosmetics) terlebih dahulu.
Syed Saddiq bersama pengasas Wawa Cosmetics iaitu Wawa Zainal dan Aeril Zafrel
“Ada beberapa jenama sebelum ini yang tidak membenarkan saya menyatakan jumlah bayaran kerana perlu melalui prosedur agensi tertentu. Namun saya masih boleh berkongsi jenis bantuan yang akan disalurkan.
“Apapun keseluruhan bayaran akan disumbangkan kepada rakyat. Ini adalah misi kebajikan, bukan untuk diri saya sendiri,” katanya ketika hadir ke majlis New Chapter anjuran Wawa Cosmetics pada Ahad.
Dalam majlis tersebut, Syed Saddiq diumumkan sebagai wajah kempen produk pelindung matahari bersama dua lagi duta kempen iaitu Umisya Mazlan dan Aslam.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata beliau amat selektif dalam menerima sebarang tawaran sebagai duta kempen.
ARTIKEL BERKAITAN: Jadi saksi pengorbanan Bella buat Syed Saddiq, doktor tulis surat terbuka ‘ugut’ mahu rampas Muar jika tak kahwin
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq terhutang budi, anggap Bella Astillah wanita hebat… Setia jadi teman di sisi
“Banyak juga tawaran saya tolak atas faktor tertentu. Saya akan nilai berdasarkan kesesuaian dan prinsip saya.
“Wawa Cosmetics ini adalah produk tempatan yang berjaya dan sesuai dengan imej saya sebagai seorang yang aktif bersukan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatannya dalam kempen ini bukan untuk meraih publisiti semata-mata, sebaliknya menyokong produk tempatan sambil menjayakan misi kebajikan untuk masyarakat di Muar.
Untuk rekod, Wawa Cosmetics merupakan jenama kecantikan tempatan yang diasaskan oleh pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.
Syed Saddiq menyerahkan 100 peratus bayaran wajah kempen kepada penduduk di Muar.
Acara New Chapter Wawa Cosmetics dibuat bagi memperkenalkan tiga pelindung matahari baharu yang diformulasi khusus untuk lelaki dan wanita, terutamanya mereka yang aktif bersukan.
Sejak mula dipasarkan, Sunscreen Wawa telah mencatat jualan lebih daripada 4 juta unit sekali gus membuktikan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produknya.
Langkah penjenamaan semula dan pembaharuan pembungkusan ini bukan sahaja bertujuan menambah baik penampilan produk, tetapi juga sebagai usaha serius dalam membanteras penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube