suria

Umpama mimpi jadi nyata, Yonnyboii tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique

Impian Yonnyboii tercapai untuk berkerjasama dengan Malique.

BAGAI mimpi jadi realiti, penyanyi dan komposer, Yonnyboii tidak menyangka impiannya untuk bekerjasama dengan penerbit muzik ikonik, Malique akhirnya menjadi kenyataan menerusi lagu terbarunya berjudul Tanya Tuhan.

Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 27, berkata,  dia selama ini hanya mampu mengagumi figura seni itu dari jauh, namun kini diberi peluang untuk berkongsi karya bersamanya. 

“Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Dia adalah satu daripada impian dalam senarai wajib capai saya. 

Yonny akui banyak momen berharga sepanjang hasilkan lagu Tanya Tuhan.

"Memang gila, saya pun tak boleh hadam lagi kami ada lagu bersama,” katanya.

Sepanjang tempoh kerjasama itu, Yonny mengakui banyak momen indah tercipta dan ia menjadi satu perjalanan berharga yang akan terpahat dalam ingatannya.

Katanya, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana pengalaman tersebut terlalu bermakna, apatah lagi dapat bekerja dengan nama-nama besar yang turut membantu menjayakan lagu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun tiada tawaran kerja, Yonnyboii fikir macam mana nak ‘survive’ - “Ada kala rasa lemah semangat, down”

ARTIKEL BERKAITAN: Yonnyboii ajak peminat kenali dirinya menerusi album 'Yonny'

“Ada hal tak terduga seperti dapat berjumpa dan bekerja dengan insan-insan yang hebat belaka. Saya sangat berbangga, rasa kerdil terhadap segala pengalaman saya raih itu.

“Ini satu daripada pencapaian peribadi tertinggi saya dapat bekerja dengan seseorang yang sangat hebat.Terima kasih pengurusan jadikan cita-cita saya jadi realiti dan perhebatkan lagi idea saya," ujarnya.

Berkongsi mengenai Tanya Tuhan, Yonny menjelaskan lagu yang ditulis bersama Malique itu diilhamkan daripada pengalaman peribadinya sendiri yang ketika itu berdepan keraguan dan persoalan sukar dijawab.

Yonny gembira impiannya tercapai.

"Sewaktu menulis lagu ini, bukanlah nak kata saya tengah susah atau apa. Cuma ketika itu, saya menjauh daripada diri dan sangat emosional. Banyak pergelutan dalam hidup saya baik sebagai pemuzik dan bapa.

“Itulah, kadang-kadang kita penat, ‘burnout’. Jadi, kita tak tahu nak tanya siapa lagi. Bukanlah nak cakap semua hal berdepan kesulitan sekarang. Cuma, saya tak tahu hendak mengadu pada siapa,” jelasnya.

Tanya Tuhan mengisahkan kisah hidup Yonny.

Lebih istimewa, lagu ini turut dilengkapkan dengan muzik video (MV)  sahabatnya iaitu Thaqif yang sentiasa berjaya merealisasikan dan memahami idea 'gilanya' 

“Untuk MV saya dapat bekerja dengan seorang daripada pengarah impian juga, rakan saya Thaqif dan produksinya. Lagipun, saya sudah lama tidak bekerjasama dengan dia dan dapat rasakan magisnya semula.

“Semoga jalinan kerjasama kami dapat diteruskan untuk projek lain kerana bagi saya, dia adalah satu daripada pengarah terbaik dalam industri,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain