suria

Rumah banglo penyanyi legenda dilelong, Kilafairy nafi milik arwah Rohana Jalil... “Saya jaga dengan baik dan tidak akan jual”

Kilafairy (kiri) menjaga baik rumah milik arwah Rohana di Subang Jalil.

PENYANYI dan pelakon Kilafairy terkejut apabila nama arwah ibunya iaitu Rohana Jalil disebut sebagai pemilik kediaman banglo yang bakal dilelong Ogos ini. 

Menafikan dakwaan tersebut, Kila atau Syakila Nisha Jangir Khan, 33, menjelaskan segala butiran informasi yang diiklankan di media sosial itu bercanggah dengan fakta sebenar. 

Kata Kila, dia tidak akan pernah sesekali menjual kediaman milik ibu kerana ia merupakan satu-satunya kenangan yang ada bersama arwah. 

Netizen membuat spekulasi rumah yang bakal dilelong milik arwah Rohana (kanan).

"Siapa cakap ni? Pandai-pandai sahaja. Mama (Rohana) meninggal dunia bukan sebab paru-paru. 

"Kaya betullah kalau ini rumah saya.Lagi pun rumah Mama bukan seperti alamat yang tertulis.  

"Setakat ini, tak ada lagi nak lelong rumah. Saya cuma ada sebuah rumah milik mama yang saya tinggal sekarang dan saya takkan jual," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kilafairy hampir batal kemunculan di konsert Udit Narayan, tak mampu teruskan tanpa Rohana Jalil 

ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil meninggal dunia

Dalam pada itu, Kila memberitahu dia dan bapanya iaitu Jahangir Khan masih menetap di kediaman milik arwah Rohana yang terletak di Subang Jaya, Selangor. 

Kongsi Kila, dia bersyukur kerana semua urusan harta milik arwah sudah selesai dan berjanji akan menjaga kediaman tersebut dengan baik. 

"Rumah mama ada sahaja lagi, saya tinggal bersama papa di sini dan dijaga dengan baik. 

"Alhamdulillah semua urusan harta mama sudah diselesaikan mengikut hukum," ujarnya. 

Sebelum ini, sebuah rumah banglo dipercayai milik seorang penyanyi legenda tanah air yang meninggal dunia akibat masalah paru-paru dua tahun lalu dikatakan bakal dilelong pada 28 Ogos ini. 

Rohana meninggal dunia pada Jun 2023.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Auction Property, rumah banglo 2.5 tingkat lot sudut yang terletak di SS18, Subang Jaya itu dilaporkan telah didaftarkan atas nama arwah bersama seorang ahli keluarga dipercayai anaknya. 

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dan menerusi ruangan komen, terdapat netizen yang membuat tekaan banglo mewah itu adalah milik Allahyarham penyanyi Rohana Jalil. 

Untuk rekod, Rohana meninggal dunia pada 21 Jun 2023 akibat masalah kebocoran usus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain