PENYANYI Dafi menasihatkan rakan-rakan artis supaya lebih berhati-hati sebelum menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai isu bayaran rendah secara terbuka di media sosial.
Menurut Dafi atau Gaddafi Ismail Sabri, 37, tidak semua perkara perlu dikongsikan kepada umum, apatah lagi apabila ia melibatkan soal rezeki dan pendapatan yang boleh menimbulkan salah faham.
Ujarnya, setiap orang mempunyai pandangan dan tahap kemampuan berbeza terhadap nilai sesuatu bayaran.
"Saya tidak tujukan kepada mana-mana individu secara spesifik tetapi saya rasa bukan semua benda kita perlu kongsikan di media sosial.

Dafi mohon rakan artis jaga sensitiviti masyarakat terutamanya soal kewangan.
"Nak bercakap itu kena berhati-hati sikit sebab rezeki yang bagi kita sikit mungkin banyak pada orang lain. Kalau rasa tak berbaloi jangan ambil (tawaran), tak perlu nak menyuarakan di secara umum.
"Kadang kita kena fikir, kalau kita rasa jumlah bayaran itu sedikit tetapi ada orang boleh buat untuk sara satu keluarga. Saya tak rasa kita patut perlekehkan rezeki yang kita dapat," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Dafi menyifatkan isu melibatkan wang atau gaji merupakan perkara yang sensitif dan seharusnya ditangani dengan berhati-hati.
"Saya rasa agak sensitif kalau nak menyuarakan bab duit atau gaji kerana apa yang kita ada belum tentu orang lain ada.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes SPRM bapa tak beri kesan kepada Dafi, harap keadaan kembali seperti biasa
ARTIKEL BERKAITAN: Sering dilihat ke hospital, Dafi jawab dakwaan hidap kanser... Syukur badan semakin berisi
"Apa yang kita dapat belum tentu orang lain dapat atau mereka terima (wang) lebih kurang daripada itu.
"Jadi apa perasaan mereka bila orang cakap seperti itu? (memperlekehkan rezeki)," ujarnya.
Mengulas lanjut, Dafi tidak menolak hak seseorang artis untuk menetapkan kadar bayaran mereka, namun menasihati agar perkara tersebut disuarakan dengan lebih berhemah.
"Kalau sebut fasal maruah, tak salah dia nak tetapkan harga. Kita faham lain orang lain tahapnya. Ada yang lebih popular dan mungkin pernah dapat bayaran lebih tinggi.
Kalau rasa tak berbaloi jangan ambil (tawaran), tak perlu nak menyuarakan di secara umum.
DAFI
PENYANYI
"Tapi bagi saya kalau tidak mahu tolak sajalah. Saya rasa masalahnya individu terbabit bercakap dengan ayat seperti 'nak makan apa dengan bayaran tersebut', mungkin bagi orang lain sudah cukup untuk menyara seluruh keluarga.
"Soal duit ini saya rasa agak sensitif, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Jadi kita kena perlu lebih peka dengan apa yang kita ingin cakap," jelasnya.
Bagi Dafi, dia lebih terbuka menerima tawaran yang bersesuaian dengan keadaan semasa serta melihatnya sebagai peluang untuk terus kekal aktif dalam industri.
"Kalau bersesuaian dan saya ada masa lapang, saya terima saja tawaran sedemikian.

Dafi tidak memandang rendah dengan setiap tawaran pekerjaan yang diterima.
"Saya faham setiap pekerjaan ada tetapan gaji sendiri yang diterima. Itu hak masing-masing.
"Mungkin saya suka buat kerja (menyanyi) ini dan rasa seronok. Kadang ada orang tak mampu nak tawarkan kita dengan bayaran tinggi... Kalau saya ambil tawaran itu mungkin masa hadapan saya dapat tawaran lebih tinggi sikit," katanya.
Sebelum ini, seorang penyanyi lelaki meluahkan rasa kecewa selepas menerima tawaran rendah sekitar RM1,400 untuk menyanyikan dua buah lagu.
Menurutnya, tawaran itu tidak setimpal memandangkan dia boleh menjana pendapatan lebih banyak dalam masa sehari dengan cara bekerja sendiri di pejabat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


