PELAWAK dan penyampai radio, Ajak Shiro kekal tenang dengan segala kritikan dan teguran daripada pelanggan yang mengunjungi kedai makan miliknya, Bumbu Babah.
Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 39, berkata dia menyedari luahan hati seorang pelanggan di platform Threads yang tidak berpuas hati dengan harga sambal udang kerana dianggap mahal.
Namun jelas Ajak, harga yang dikenakan bukan hanya untuk udang semata-mata, tetapi termasuk bahan lain seperti petai yang turut digunakan dalam sambal tersebut.

Hantaran yang menjadi perbualan di Thread.
“Kalau nak kata mahal, nasi padang saya bermula daripada RM5 saja. Kalau nak saya kurangkan lagi memang tak boleh.
“Untuk lauk pula, paling mahal pun sekitar RM7 ada juga yang berharga RM4 atau RM5.
“Cuma kalau udang memang sedikit mahal, tapi kalau daftar sebagai ‘member’, insya-Allah boleh dapat harga lebih rendah,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sengketa 3 tahun Ajak dan Shahrol sudah berakhir, persahabatan kembali bertaut
ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu lihat suami isteri berniaga tepi jalan, Ajak borong ayam percik suruh balik rumah awal
Ajak berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Inilah Suria yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya pada Rabu.
Menurut Ajak, menu nasi padang di Bumbu Babah dijual pada harga antara RM11.90 hingga RM14.90 bergantung kepada pilihan lauk.
“Untuk sambal udang itu ada petai dan kita tahu harganya agak mahal sekarang,” ujarnya.
Tambah Ajak, sejak mengusahakan kedai makan itu setahun lalu, dia sentiasa mengutamakan pelanggan dan mengambil serius setiap aduan yang diterima.
Ada saja pelanggan yang terus komplain depan saya.
AJAK SHIRO
PELAWAK/PENYAMPAI RADIO
Katanya, setiap teguran menjadikan dia lebih rapat dengan pelanggan dan membantu memperbaiki mutu perkhidmatannya.
“Ada saja pelanggan yang terus buat aduan depan saya. Pernah seorang pelanggan cakap daging dendeng saya keras macam makan dinding sebab pakai gigi palsu.
“Saya terus cadangkan supaya ambil daging basah yang lebih lembut,” tambahnya.

Ajak ligat promosikan kedai makan sendiri.
Menurut Ajak, pengalaman berniaga memberinya kepuasan tersendiri dan menjadikan dia lebih menghargai interaksi dengan pelanggan.
“Bagi saya ini perkara biasa. Saya takkan marah kalau orang tak puas hati. Sebaliknya saya akan ambil sebagai peluang untuk perbaiki kelemahan,” ujarnya.
Sebelum ini tular perkongsian seorang individu yang merungut harga sambal udang di kedai makan miliknya terlalu mahal.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


