SUSULAN video muzik (MV) terbaharu Dolla berjudul Question yang mencetuskan perdebatan kerana disifatkan terlalu mencolok mata hingga diturunkan dari YouTube, timbul pula kebimbangan mengenai nasib konsert kumpulan itu yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 6 Disember ini.
Menurut penganjur yang juga penyanyi, Sufi Rashid, 34, konsert Dolla: Good Girls Gone Bad tetap diteruskan seperti dirancang dan pihaknya akan memastikan segala persiapan dibuat mengikut prosedur sewajarnya.
"Memang ada beberapa orang sudah mula bertanya tantang konsert Dolla sebab isu yang sedang tular sekarang.

Sufi serahkan segala keputusan terhadap pihak pengurusan UMM.
"Tapi apa saya boleh kata sekarang, kami hanya menjalankan tugas sebagai penganjur.
"Tidak sangka isu muzik video tersebut menjadi perhatian sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai konsert," katanya ketika dihubungi mStar pada petang Ahad.
Sufi berkata, pihaknya menyerahkan segala keputusan berkaitan perkara itu kepada pengurusan Universal Music Malaysia (UMM).
"Buat masa ini, kami serahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan Universal Music.
ARTIKEL BERKAITAN: Muzik video Question nyanyian Dolla diturunkan, Universal Music hormat sensitiviti masyarakat
ARTIKEL BERKAITAN: "Dolla tolonglah berubah" - Asma’ Harun tegur MV ‘Question’, kecewa peminat turut beri sokongan
"Kami akan ikut sahaja prosedur yang dikehendaki demi kebaikan semua pihak," ujarnya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan sedang meneliti kemungkinan mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Mohd Na'im juga mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.

MV 'Question' menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla dalam MV ‘Question’ menarik perhatian ramai, dengan sebahagian masyarakat menyifatkan gaya fesyen yang dipaparkan terlalu seksi dan mencolok mata.
Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma’ Harun, memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam MV terbabit tidak bermoral serta memalukan wanita beragama Islam.
Berikutan kontroversi yang timbul, pihak pengurusan UMM mengambil keputusan menurunkan MV “Question” di semua platform digital mulai Sabtu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


