suria

[V] Nadhir Nasar nafi merajuk, tak pernah kejar trofi... “Usia 42 pun saya masih boleh menang anugerah”

PERKONGSIAN di aplikasi X pelakon Nadhir Nasar baru-baru ini menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk ada yang menganggap aktor berkenaan jauh hati dengan industri seni. 

Menafikan dakwaan itu, Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 29, menegaskan tidak wujud isu berkecil hati atau membawa diri seperti yang disangka sesetengah pihak.

Menurut Nadhir, lima tahun dalam bidang lakonan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan tentang pencapaiannya.

"Saya tidak merajuk dengan industri seni. Saya masih lagi berada di sini (industri), masih lagi bekerja dan berlakon. Tidak timbul isu merajuk kepada mana-mana pihak. 

 

"Saya baru lima tahun berlakon. Nak kata bagus sangat pun tidak, banyak lagi saya kena belajar. 

"Ramai mungkin cakap kenapa saya tak menang anugerah. Perkara pertama yang saya selalu pegang, kita bekerja bukan fasal anugerah pun," katanya kepada mStar. 

Nadhir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media tayangan perdana filem Klepet yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada malam Khamis. 

Dalam pada itu, Nadhir memberitahu fokusnya kini adalah tentang pekerjaan yang dilakukannya dan bukan tentang kemenangan trofi. 

ARTIKEL BERKAITAN: Tak salah pelakon ‘melobi’ cari kerja, Nadhir Nasar yakin tiada siapa berjaya sekelip mata

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Gelang manik di tangan Nadhir Nasar curi tumpuan, rupanya hadiah istimewa daripada peminat

Bagi Nadhir, kejayaan tidak perlu dikejar dalam tempoh tertentu.

"Kita bekerja dengan ikhlas untuk menjayakan watak diberikan sebagai pelakon. Saya percaya rezeki yang Tuhan beri akan hadir tepat pada masanya. 

"Tidak ada apa untuk dikejarkan, saya masih boleh memenangi anugerah bila berusia 42 tahun kalau diberi peluang umur yang panjang. Saya juga masih boleh menang anugerah di usia 55 tahun. 

Saya tidak merajuk dengan industri seni. Saya masih lagi bekerja dan berlakon.

NADHIR NASAR

PELAKON

"Tak ada pun yang cakap saya perlu menang anugerah pada waktu kemuncak kerjaya saya sebagai pelakon sekarang ini. Saya bukan begitu. Saya akan tetap terus menjadi seorang pelakon yang relevan bila usia saya 55 tahun sekali pun. Insya-Allah," ujarnya. 

Mengulas mengenai sasaran anugerah yang ingin diraih, Nadhir mengakui trofi Festival Filem Malaysia (FFM) tetap menjadi impian peribadi buatnya.

"Kalau boleh memang saya mensasarkan untuk memenangi anugerah di FFM. Semua anugerah sebenarnya adalah yang terbaik tetapi untuk menang itu adalah satu rezeki. 

Perkongsian di X sekadar luahan buat Nadhir dan peminatnya.

"Alhamdulillah kalau kita menang, ia satu perkara yang boleh dibanggakan kerana kita bekerja keras untuk setiap drama atau filem yang dilakonkan. 

"Tiada istilah anugerah mana yang paling hebat atau tidak, semua anugerah adalah kemenangan dan ia diberikan kepada individu yang layak. Kalau tak menang, saya akan bekerja lebih keras untuk dapatkan apa yang saya mahu. Itu apa yang saya rasa," katanya. 

Sebelum ini, Nadhir memuat naik ciapan di X meminta peminatnya tidak membuang masa dan wang untuk membuat undian bagi pihak dirinya. 

Tidak memperincikan maksud luahannya itu, Nadhir hanya berkata tidak semua perjuangan memerlukan kemenangan sebagai balasan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain