VIDEO promosi filem muzikal Indonesia, Rangga & Cinta yang disiarkan berulang kali di stesen televisyen popular, TV3 mengundang rasa kurang senang dan rimas dalam kalangan penonton setianya.
Menerusi beberapa perkongsian yang tular di media sosial, sebahagian penonton mendakwa iklan tersebut terlalu kerap ditayangkan hingga mengganggu pengalaman menonton.
“Kepada TV3. Mohon berhenti try hard promosi cerita Indonesia, Rangga & Cinta. Setiap kali iklan, promosi filem ini sampai dua kali ulang. Apa yang try hard sangat ni?

Antara luahan pengguna media sosial terhadap video promosi filem Rangga & Cinta.
“Ade ke orang nak tengok cerita ini. Cinta & Rangga sinonim dengan Dian Sastriwardoyo dan Nicholas Saputra.
“Sakit mata dan menanah tengok iklan setiap 15 minit macam tu. Sikit-sikit sudahlah. Memang mereka bayar, tapi fikir la sikit dekat penonton. Jangan la brainwash kami sampai meratib. Yang bagi rating 1000/100 tu betul-betul semangat smpai 10 kali.
“Aku rasa nak baling je TV setiap kali iklan tu keluar. Tak habis2 lagu “Aku hanya ingin mencintai,bahagiaaa” Bingit!,” tulis beberapa netizen.
Bagaimanapun, terdapat penonton yang memahami mengapa promosi tersebut disiarkan secara agresif.
ARTIKEL BERKAITAN: Nicholas Saputra cipta kelainan, pertaruhkan suara dalam filem muzikal
ARTIKEL BERKAITAN: Drama 'Ada Apa Dengan Cinta' Muncul Kembali
Ini kerana Primeworks Studios, syarikat di bawah Media Prima Berhad bertindak sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi bagi tayangan filem Rangga & Cinta di Malaysia.
“Sebab Primeworks yang bawak masuk. Primeworks under Media Prima. So dia push la. Sama macam cerita Sore tu.
“Dah company mereka pengedar filem itu, alamak.
“Dibayar tu. Tapi kadang movie yang tak best dibanyakkan marketing supaya orang teracun pergi tonton,” tulis netizen.

FIlem Rangga & Cinta sudah menemui penonton di Malaysia sejak 6 November lalu.
Diterbitkan oleh Miles Films, Rangga & Cinta menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Leya Princy (Cinta), El Putra Sarira (Rangga), Jasmine Nadya (Alya), Kyandra Sembel (Maura), Katyana Mawira (Milly), Daniella Tumiwa (Karmen), Rafi Sudirman (Borne) dan Rafly Altama (Mamet).
Filem ini mengisahkan Cinta, pelajar popular yang berbakat dan disayangi ramai. Hidupnya sempurna, dikelilingi sahabat baik seperti Alya, Maura, Milly dan Karmen.
Namun, semuanya berubah apabila keputusan pertandingan puisi sekolah mengumumkan Rangga, pelajar pendiam dan misteri, sebagai pemenang lantas mencetuskan pertemuan yang akhirnya menukar takdir kedua-duanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


