PENDAKWAH selebriti, Amin Idris menegur sikap segelintir individu yang mempersoalkan kerjaya guru apabila dilihat tidak hidup mewah atau memandu kereta berjenama.
Isu itu tercetus selepas tular satu kenyataan di media sosial yang dipercayai merendah-rendahkan nilai ijazah dan kelulusan akademik dalam bidang perguruan kerana tidak menunjukkan kemewahan seperti golongan profesional lain.
Bagaimanapun menurut Amin, 44, tanggungjawab seorang guru jauh lebih besar daripada mengejar harta dunia.

Amin tegur sikap individu perlekeh kerjaya guru.
“Pertama sekali, cikgu-cikgu mendidik kita bukan sebab mahu jadi kaya, tetapi untuk kita belajar tentang adab dan akhlak.
"Kalau matlamat mereka kekayaan, sudah lama mereka memilih kerjaya lain,” katanya.
Amin berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Wujud agamawan ‘tunggang’ agama demi wang, Amin Idris minta henti selindung di sebalik nama NGO
ARTIKEL BERKAITAN: Masyarakat mula hilang kepercayaan, kes Da’i Syed ‘wake up call’ buat pendakwah
Dalam masa sama, Amin juga secara sinis menegur segelintir individu yang berpura-pura kelihatan kaya demi meraih perhatian.
“Kedua, orang kaya yang berjaya tidak menipu.
"Contohnya, ambil gambar depan kereta orang lain kemudian buat posting konon diri sendiri sudah kaya dan berjaya.
"Ada juga mengaku memiliki Lamborghini, tetapi sebenarnya hanya kereta biasa yang ditampal logo,” ujarnya.

Perkongsian Amin di Threads miliknya.
Amin juga mengingatkan orang ramai agar memuliakan ilmu berbanding menghambakan diri kepada kemewahan.
“Carilah ilmu, kerana ilmu akan menjaga kita. Jika kita hanya mengejar harta, kitalah yang terpaksa menjaga harta itu," jelasnya.
Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai tindakan seorang individu yang memperlekehkan profesion perguruan sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


