DUA selebriti terkenal iaitu Datuk Jalaluddin Hassan dan Ziana Zain tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya sekitar pukul 9.30 pagi Khamis.
Kehadiran kedua-dua selebriti itu bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berhubung kes sindiket pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat pengurusan kewangan yang tumpas dalam Ops Sky baru-baru ini.
Bagaimanapun Jalaluddin dan Ziana dikatakan tidak melalui pintu utama SPRM di mana lokasi pengamal media menunggu kehadiran mereka seawal pukul 8 pagi.
Mereka dipercayai menggunakan jalan ‘belakang’ bagi mengelak bertembung dengan pihak media.
Kawasan sekitar ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Seorang pegawai SPRM yang berada di pos pengawal memaklumkan perkara sama namun tidak dapat dipastikan waktu sebenar Jalaluddin dan Ziana tiba di lokasi.
“Dah sampai dah Puan. Mereka bersama pasukan siasatan,” ujar seorang pegawai SPRM ketika ditanya petugas media mengenai selebriti ini.
Pasangan artis itu kini sedang disoal siasat namun tidak dipastikan berapa lama tempoh siasatan itu mengambil masa.
ARTIKEL BERKAITAN: Keterangan 3 selebriti dirakam SPRM esok, bukan suspek tapi bantu lengkap siasatan
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sangkal terima bayaran RM400,000 sebagai duta, Jalaluddin Hassan sedia beri kerjasama jika dipanggil SPRM
Susulan kejadian berkenaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dijadual akan membuat sidang media pada Khamis berhubung kejadian berkenaan.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti namun tidak mendedahkan sebarang nama.
Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Penggamal media yang membuat liputan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit selepas mereka bertindak sebagai duta kepada syarikat itu.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi ternama.
SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!