suria

Kes cerai Beego dan Linda Hashim tiada penyelesaian, mahkamah arah lantik wakil Jawatankuasa Pendamai

Beego dan Linda diarahkan untuk melantik wakil JKP.

PASANGAN selebriti Beego dan Linda Hashim diarah melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi kes penceraian mereka.

Perkara itu diputuskan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat yang mendengar kes itu pada pagi Khamis.

Ia susulan Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, tidak bersetuju dengan permohonan Linda untuk bercerai.

Aktor itu memberitahu bakal melantik ibunya sebagai wakil JKP yang bakal berlangsung pada 23 April depan.

Beego melantik ibunya sebagai wakil JKP bagi prosiding cerainya. 

"Apabila mahkamah tanya setuju atau tidak untuk bercerai saya beritahu tidak setuju.

"Jadi saya merancang untuk melantik ibu saya sebagai wakil JKP selepas ini," katanya kepada mStar.

Beego berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus selesai prosiding penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, pula memaklumkan akan melantik salah seorang ahli keluarganya sebagai wakil JKP.

ARTIKEL BERKAITAN: Beego enggan cerai, minta Linda Hashim balik ke rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi peluang buat Beego! Linda Hashim nekad mahu cerai

Sedar proses penceraiannya akan mengambil masa panjang, Linda bagaimanapun sudah bersedia menghadapi perkara itu memandangkan sudah lama dia bersabar dengan sikap Beego.

"Saya memang sudah tahu dia susah nak lepaskan saya. Saya akan ikut semua prosedur mahkamah dan akan berjuang sampai ke akhirnya.

"Lagipun sudah bertahun saya bersabar... Tahan sikit untuk beberapa bulan lagi, saya okay sahaja," katanya.

Saya akan ikut semua prosedur mahkamah dan akan berjuang sampai ke akhirnya.

LINDA HASHIM

PELAKON

Pada pagi Isnin, Linda hadir bersama peguamnya iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin dan tetap dengan pendirian mahu berpisah.

Manakala Beego diwakili peguam Muhammad Akmal Amzan kekal mahu pertahankan rumah tangga dibina bersama Linda.

Awal Januari lalu, Linda memfailkan cerai terhadap Beego dengan alasan mereka sudah tiada persefahaman.

Linda nekad untuk bercerai dengan Beego walaupun mengambil masa panjang. 

Pada 27 Mac 2023, pasangan ini bercerai talak satu sebelum sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023.

Linda turut mendedahkan mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia yang kini berusia enam tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain