HUKUMAN penjara membabitkan Pencetus Ummah (PU) Azman dikurangkan sebanyak 12 tahun berbanding 24 tahun selepas rayuannya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Klang pada Isnin.
Sinar Harian melaporkan, rayuan tersebut membabitkan dua hukuman bagi dua kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun itu berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum pada 27 September tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah masih mengekalkan hukuman dua sebatan terhadap pendakwah berkenaan.
Dalam pada itu, Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim semasa prosiding mendapati kes pendakwaan dan bela diri membabitkan Azman atau Azman Syah Alias, 43, selaku perayu dibicarakan secara bersama.
“Ia turut melibatkan saksi dan kejadian yang sama, oleh itu hukuman yang dijatuhkan, perlu dijalankan secara berturutan.
Mahkamah masih mengekalkan hukuman dua sebatan terhadap Azman.
“Jadi, saya membenarkan rayuan agar hukuman berjalan serentak menjadikannya penjara selama 12 tahun manakala dua sebatan, dikekalkan," katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Azman iaitu Fahmi Adilah berkata, pembelaan telah memfailkan rayuan agar hukuman penjara masing-masing 12 tahun dijalankan berasingan, dapat dibuat secara serentak.
“Memandangkan kes dihadapi ialah melibatkan mangsa dan saksi yang sama, maka saya percaya tiada sebarang niat untuk melengah-lengahkan prosiding.
“Justeru, mengambil kira faktor tersebut, mahkamah ini wajar untuk masuk campur dan mengubah keputusan berkenaan," ujarnya.
Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Najiha Tengku Zahari memohon mahkamah untuk menolak permohonan perayu dengan alasan dapatan mahkamah rendah ialah tepat dan tidak melampau.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam jelaskan PU Azman tetap jalani hukuman penjara serentak selama 24 tahun cuma jumlah sebatan bertambah
ARTIKEL BERKAITAN: PU Azman dijatuhi hukuman penjara kali keempat, dijel 6 tahun serta satu sebatan
Hujahnya, mahkamah perlu mengambil kira peranan tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah, usia mangsa semasa kejadian dan hubungan mereka berdua.
“Kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu itu sendiri, malah masyarakat menanti dan melihat perkembangan kes-kes sebegini.
“Berkaitan kesan penjara 24 tahun kepada perayu dan akan keluar pada umur 60 atau 70 tahun, ia bukan satu ukuran.
“Perkara yang penting ialah trauma kepada pengadu itu berbanding impak pemenjaraan kepada perayu itu," katanya.
Azman didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki.
Pada 27 September 2024, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
Azman turut dijatuhi hukuman penjara tambahan sebanyak 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada 6 Disember 2024 selepas Azman mengaku bersalah atas kelucahan melampau terhadap remaja lelaki.
Manakala pada 17 Disember 2024, Mahkamah Sesyen Seremban pula menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas Azman mengaku bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki, dua tahun lalu.
Malah pada 30 Disember 2024, Mahkamah Sesyen Shah Alam pula menjatuhi hukuman penjara enam tahun serta satu sebatan terhadap Azman.
Hukuman itu dijatuhi selepas Azman menukar pengakuan kepada bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia yang pada waktu kejadian berusia 17 tahun iaitu tujuh tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!