USAHAWAN sensasi Datuk Seri Aliff Syukri tidak mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi muzik video (MV) lagu nyanyiannya berjudul Kelepok Raya.
Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 38, memberitahu dia tidak akan melakukan perbuatan terkutuk itu kerana sudah berkahwin dan mempunyai enam orang cahaya mata.
Tambahan pula dia baharu sahaja menerima Anugerah Khas Ikon Belia Wilayah Persekutuan yang diadakan pada malam Ahad.
Aliff memberitahu perkara itu ketika membuat pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang iaitu Ahmad Fuad Othman.
“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana apa yang ingin saya tegaskan bahawa saya sama sekali tidak ingin melakukan atau mempromosikan LGBT dalam mana-mana platform media sosial apabila saya sendiri sudah berkahwin dan mempunyai enam cahaya mata.
Aliff tiada niat untuk melakukan promosi LGBT.
“Saya juga ikon belia yang baru dilantik semalam (Anugerah Khas Ikon Belia Wilayah Persekutuan). Selain itu saya juga hampir 10 tahun berturut-turut menjadi pembayar zakat tertinggi di Selangor.
Jadi saya rasa tak mungkin saya ingin menjatuhkan maruah saya sendiri untuk mempromosikan LGBT. Hal ini terjadi kerana ia disalahtafsirkan,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff memberitahu penghasilan video muzik tersebut pada 2022 mengambil inspirasi daripada muzik video penyanyi Hael Hussaini dan Elizabeth Tan.
"Saya tunjukkan dua klip video Hael Husaini dan Elizabeth Tan itu kepada semua penari di mana saya katakan kepada mereka saya mahu (tarian) seperti itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tarian MV ‘Kelepok Raya’ tidak sopan, Aliff Syukri diperintah bela diri
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri hadir ke SKMM bantu siasatan MV ‘Kelepok Raya’
"Penari-penari di dalam muzik video itu adalah penari profesional yang saya upah untuk menari dan berlakon bersama saya dalam muzik video itu," ujarnya.
Aliff bagaimanapun menegaskan dia tidak menggunakan khidmat koreografer untuk mengajar tarian sebaliknya memberi kebebasan kepada penari bagi menterjemahkan karya mereka.
"Berkaitan dengan 'make up' pula, saya juga memberikan mereka kebebasan kerana ia adalah perkara yang biasa untuk pelakon mengenakan 'make up' untuk penggambaran supaya tidak kelihatan kusam dan berminyak dalam kamera.
"Gaya tarian pula, saya memberitahu penari untuk buat secara gaya bebas mengikut cita rasa masing-masing," jelasnya.
Usahawan itu turut menafikan dakwaan memuat naik empat muzik video Kelepok Raya dan dipercayai ia dilakukan oleh salah seorang pengurus kandungan media sosialnya.
"Saya tidak pernah memberi apa-apa arahan kepada mana-mana pekerja saya sama ada Nazril Azri, Liyana atau Shazwan untuk memuat naik mana-mana bahagian dari muzik video Kelepok Raya itu ke dalam mana-mana sosial media saya ini kerana muzik video itu belum melalui proses suntingan dan kelulusan dari saya.
"Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa saya bukanlah orang yang memuat naik keempat-empat video itu seperti di dalam pertuduhan ke atas diri saya," katanya.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain.
Aliff (kiri) nafi mempromosikan LGBT menerusi video muzik Kelepok Raya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April tahun sama dan dilihat di pejabat SKMM, Cyberjaya, pada 24 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mahkamah menetapkan 22 Mei ini untuk pemeriksaan balas oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sebelum ini, klip video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap keterlaluan kerana memaparkan penari lelaki lembut dan seolah-olah mempromosikan budaya LGBT.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!