suria

Bekas pengurus Hael Husaini didakwa seleweng RM28,000

Hael (tengah) bersama pihak pengurusan Rocketfuel, Prem (kiri) dan Syakireen.

PIHAK pengurusan penyanyi Hael Husaini iaitu Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd (RFE) memfailkan saman terhadap seorang wanita didakwa melakukan penyelewengan wang berjumlah RM28,000.

Menurut Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, kes tersebut membabitkan urusan persembahan sebuah acara hiburan melibatkan bekas pengurus kepada penyanyi berkenaan yang berlangsung pada Januari tahun lalu.

“Pada pertengahan tahun lalu, kami telah membuat satu laporan polis terhadap seorang pengurus wanita yang disyaki menyeleweng sejumlah wang daripada tawaran persembahan yang diterima Hael.

Hael dakwa bekas pengurus seleweng duit.

“Selepas membuat laporan polis itu, kami membuat keputusan untuk mendakwa dia di mahkamah. Kes ini melibatkan seorang individu dengan dakwaan penyelewengan berjumlah RM28,000.

“Pada hari ini (Isnin), kami hadir untuk perbicaraan kes yang bakal disambung pada pukul 2 petang ini,” katanya kepada mStar.

Prem berkongsi perkara itu ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Prem memberitahu pihak pengurusan terpaksa membuat laporan polis selepas usaha perbincangan bayaran semula gagal mendapat kerjasama daripada individu terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan upah ‘bodyguard’, Hael Husaini cuma ada pemandu peribadi

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat ‘kenenkan’ dengan rakan duet, Hael Husaini tak rimas anggap peluang promosi lagu

Jelas Prem, individu terbabit mencabar Rocketfuel untuk menyelesaikan kes itu secara undang-undang.

“Sebelum kami membuat laporan polis, kami meminta individu tersebut membayar wang selama dua minggu tetapi gagal dilunaskan.

“Apabila kami meminta bayaran tersebut, dia mahu menyelesaikan kes secara undang-undang.

“Penyelewengan berlaku pada Januari tahun lalu dan kami membuat laporan polis pada Jun tahun lalu serta sebutan kes pertama pada November 2024," ujarnya.

Hael mahu kes samannya ini dijadikan pengajaran buat artis lain.

Sementara itu, Hael yang hadir sebagai saksi kes itu bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut dan berharap perkara ini menjadi iktibar buat semua pihak.

“Apa yang berlaku ini, semoga menjadi iktibar kepada saya, pihak pengurusan dan artis lain,” katanya.

Turut hadir, peguam yang mewakili RFE iaitu Narainasami SM Alagu dan Ketua Music dan Kandungan Rocketfuel Entertainment Syakireen Othman.

Perbicaraan akan disambung pada pukul 2 petang ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain